Waspada pengampu parti, kata Mokhtar Senik

Waspada pengampu parti, kata Mokhtar Senik

Kenyataan itu dipercayai merujuk pendedahannya semalam yang mendakwa dihalang memberikan pengisian untuk program parti oleh pihak tertentu.

Pendedahan dan kekecewaan ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik membayangkan terdapat dua kem dalam PAS yang mahukan parti itu memberat ke arah Perikatan Nasional, manakala sebahagian mahukan Muafakat Nasional. (Gambar Youtube)
PETALING JAYA:
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik memberi peringatan kepada individu berjawatan dalam parti itu supaya berwaspada terhadap “pengampu” selepas mendakwa dihalang memberikan usrah untuk program anjuran parti.

Beliau berkata, pengalamannya sebelum ini banyak melihat “pengampu” parti yang bertindak berlebihan memaki dan mencaci orang lebih daripada pemimpin lain.

Katanya, walaupun tidak pernah melaluinya, perkara itu berlaku kepada pimpinan dan rakan lain dalam parti.

“Kepada sahabat yang memegang jawatan dalam parti, saya nak ingatkan berwaspada dengan para pengampu yang kadang-kadang puji berlebihan.

“(Ini) kerana pengalaman saya, pengampu itulah nanti yang akan maki dan caci kita lebih dari orang lain. Waspadalah. Jadilah diri kita yang sebenar bukan ikut apa yang orang mahu,” katanya di Facebook.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pendedahan beliau semalam yang mendakwa dihalang memberikan pengisian untuk program parti oleh pihak tertentu.

Beliau mendakwa arahan itu dikeluarkan oleh pemimpin di peringkat kawasan selepas dia dikatakakan cenderung ke arah menolak Muafakat Nasional (MN) apabila ditanya pendiriannya dalam sebuah majlis usrah di Kuantan, Pahang.

“Saya jawab, hubungan kita dengan Umno tetap seperti mana yang dipertegaskan oleh PAS, iaitu perkukuhkan MN dan pertahankan PN (Perikatan Nasional).

“Tiba-tiba pihak DUN diarahkan oleh yang Dipertua kawasan agar tidak panggil lagi saya untuk mengisi program tersebut kerana dikatakan saya cenderung ke arah menolak MN,” katanya di Facebook.

Pendedahan dan kekecewaan Mokhtar itu membayangkan terdapat dua kem dalam PAS yang mahukan parti itu memberat ke arah PN manakala sebahagian mahukan MN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.