
Perkara ini disahkan peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Azmin dan peguam N Yohendra yang mewakili pengundi terbabit semasa dihubungi Bernama selepas kes tersebut didengar secara dalam talian di hadapan tiga hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Yaacob Md Sam, S Nantha Balan dan Nordin Hassan.
Pengurusan kes yang ditetapkan pada 10 Jan adalah untuk menetapkan tarikh mendengar rayuan, menurut kedua-dua peguam itu.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah membenarkan permohonan Azmin untuk menyelaraskan rekod rayuan kerana kesilapan yang tidak disengajakan berhubung kebolehgunaan Arahan Ketua Hakim Negara.
Ini selepas peguam Daniel Choo Vern Kai yang mewakili pengundi tidak membantah permohonan itu. Peguam Nurul Najwa Zainuddin mewakili Azmin.
Pada 10 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan 10 pengundi itu terhadapnya.
Pada hari yang sama,hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir juga menolak permohonan pengundi berkenaan untuk memadamkan sebahagian pernyataan pembelaan Azmin.
Pada 27 Nov 2020, 10 pengundi berkenaan memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi berkenaan antara lain memohon pengisytiharan bahawa Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.
Mereka menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Pada 12 Mac tahun lalu, Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan ia tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah.