Jemaah umrah boleh pilih berada di stesen kuarantin swasta, kerajaan, kata Latiff

Jemaah umrah boleh pilih berada di stesen kuarantin swasta, kerajaan, kata Latiff

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad, berkata bagi jemaah negatif Covid-19, kos di stesen kuarantin diurus kerajaan ditanggung termasuk makan, minum serta pengangkutan dari lapangan terbang.

Jemaah umrah yang dikuarantin mempunyai pilihan sama ada memilih stesen kuarantin swasta atau stesen kuarantin yang diuruskan kerajaan, kata Abdul Latiff Ahmad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad menjelaskan bahawa jemaah umrah mempunyai pilihan sama dikuarantin di stesen kuarantin swasta atau stesen kuarantin yang diuruskan kerajaan.

Katanya, bagi petempatan kuarantin yang diurus kerajaan, individu dalam pemantauan (PUS) yang didapati negatif akan ditempatkan di hotel atau pusat latihan awam bergantung kepada kesediaan bilik dan kos kuarantin ditanggung kerajaan.

“Ia termasuk makan, minum serta pengangkutan dari lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tempoh kuarantin pula katanya, mengikut arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Berikut adalah senarai pusat kuarantin untuk jemaah ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma);

  • QS Institut Latihan Awam (QS ILA):
  1. AKEPT Nilai
  2. IAB Nilai
  3. ILIM Bangi
  4. ISEF Bangi ILKAP Bangi Pulapol KL
  • QS Hotel

NEGERI SEMBILAN

  1. Klana Resort, Seremban

KUALA LUMPUR

  1. Hotel Royal
  2. Hotel Swiss Garden, Bukit Bintang
  3. Hotel IBIS, KLCC
  4. Hotel Furama, Bukit Bintang
  5. Hotel Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade
  6. IBIS Style KL Fraser Business Park
  7. Hotel AnCasa
  8. Hotel Cosmo
  9. Hotel KIP
  10. Hotel Arena Star

SELANGOR

  1. Hotel Sama-sama
  2. Hotel Gorsett Grand, Subang
  3. Hotel Crystall Crown, PJ
  4. Hotel Sunway Clio
  5. Hotel Hilton Garden Inn, Puchong
  6. Hotel Oriental Crystal
  7. Hotel Summit, USJ
  8. Hotel Pegasus, Shah Alam

Terdahulu, tular video memaparkan sekumpulan jemaah umrah menjalani kuarantin di stesen kuarantin ditetapkan Nadma dengan kos kuarantin ditanggung sendiri oleh jemaah.

Perkembangan terbaru itu mendapat kritikan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, yang mendakwa ia membebankan jemaah kerana membabitkan kos tinggi antara RM250 ke RM335 sehari.

Pada 1 Jan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan semua perjalanan umrah ditangguhkan sementara waktu bermula 8 Jan sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Bagi jemaah yang berlepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Jan, kata Khairy, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin sebaik tiba di tanah air bagi mengelakkan peningkatan penularan varian Omicron oleh jemaah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.