Keluarga Azeez mahu selesai permohonan kerajaan lucut hak harta RM16 juta

Keluarga Azeez mahu selesai permohonan kerajaan lucut hak harta RM16 juta

Peguam keluarga berkenaan berkata, surat representasi telah diserahkan kepada AGC November lepas.

Kerajaan mahu melucut hak RM16 juta daripada akaun milik isteri Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarganya, selain lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka.
KUALA LUMPUR:
Ahli keluarga Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim memfailkan representasi kepada kerajaan untuk menyelesaikan permohonan pelucuthakan harta bernilai RM16 juta terhadap mereka.

Kerajaan mahu melucut hak RM16 juta daripada akaun milik isteri Azeez, Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka – Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwav dan Khaleeda Azeera – selain lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka.

Peguam Prem Ramachandran memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin hari ini, ahli keluarga berkenaan telah menyerahkan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) November lepas.

“Kami difahamkan mereka (kerajaan) sudah sediakan laporan. Bagaimanapun, belum ada mesyuarat antara (keluarga dan) pegawai kanan AGC untuk mempertimbangkan representasi kami,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah menerima representasi keluarga itu dan perkara itu telah dibawa kepada ketua pendakwaan AGC.

“Pegawai penyiasat kami (IO) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubungnya,” katanya.

Berikutan itu, Jamil berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan pada 8 Feb, sementara menunggu keputusan AGC.

Katanya, jika keluarga itu mahu memfailkan afidavit lanjut terhadap kerajaan berhubung pelucuthakan itu, mereka boleh berbuat demikian sebelum 8 Feb.

Kes rasuah membabitkan Azeez, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, masih berjalan di Mahkamah Sesyen di sini.

Beliau berdepan tiga dakwaan rasuah bernilai RM5.2 juta dan sembilan dakwaan pengubahan wang haram membabitkan RM139.3 juta.

Azeez dikatakan menerima RM5.2 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, pengarah syarikat Menuju Asas Sdn Bhd di Lembah Klang antara Disember 2010 dan April tahun lepas.

Beliau turut dituduh menerima RM139.3 juta daripada empat syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd and AVP Engineering Sdn Bhd.

Beliau memohon untuk membatalkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu atas alasan dakwaan itu cacat.

Permohonan itu masih menunggu keputusan daripada Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.