Uncle Tony ‘rayu’ bantuan makanan, pakaian untuk mangsa banjir

Uncle Tony ‘rayu’ bantuan makanan, pakaian untuk mangsa banjir

Organisasi Food4U merayu orang ramai tampil untuk bersama-sama membantu mangsa banjir yang tinggal sehelai sepinggang akibat bencana itu.

Uncle Tony merayu sumbangan wang tunai dan barang keperluan untuk penduduk Taman Sri Nanding membina semula kehidupan selepas hilang segala-galanya dalam kejadian banjir. (Gambar Tony Lian)
HULU LANGAT:
Tony Lian atau lebih dikenali sebagai “Uncle Tony” adalah individu yang sering membantu mereka memerlukan – tidak kira sama ada memberi makanan kepada gelandangan jalanan di Kuala Lumpur, membantu orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan yang berada di bawah garis kemiskinan.

Organisasi kebajikannya, Food4U bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ketika berlakunya krisis banjir, Food4U telah menyediakan makanan siap masak serta pakaian kepada mereka di pelbagai pusat pemindahan sementara.

“Kami menyediakan makanan halal kepada mereka seperti nasi lemak, nasi goreng, mi, sayur dan kari ayam,” kata Uncle Tony kepada FMT.

“Banjir baru-baru ini membawa kesengsaraan kepada ramai orang mengalami kemusnahan tempat tinggal dan harga benda,” kata pesara berusia 72 tahun itu.

Barangan penduduk Taman Sri Nanding yang rosak memenuhi sepanjang jalan kawasan penempatan itu. (Gambar Tony lian)

Setakat ini, mereka telah membantu mangsa di Batu 11 Cheras, Kampung Kenangan di Puchong dan baru-baru ini di Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

“Keadaan di Taman Sri Nanding amat teruk. Kami terpaksa menunggu hampir lima hari untuk banjir surut sebelum boleh masuk dan membantu,” katanya.

Pada masa itu juga, penduduk terpaksa berdepan bau busuk daripada timbunan sampah di sepanjang jalan, sekaligus mengundang ancaman kesihatan.

“Ia bukan hanya di Taman Sri Nanding – seluruh kawasan Hulu Langat dipenuhi dengan timbunan sampah. Satu-satunya cara untuk membuang sampah ialah dengan menggunakan trak dan jengkaut, yang mana kebanyakan daripada kami, badan bukan kerajaan (NGO), lakukannya sendiri.”

“Kami menyewa dua jengkaut dan lima trak untuk mengangkut sampah,” katanya yang bekerjasama dengan dua lagi NGO – Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (ASAS) and Filantropi Fakir Gelandangan (FFG).

Selain itu, Uncle Tony dan sukarelawan berusaha membantu seramai mungkin mangsa banjir untuk membersihkan rumah.

Sebuah jengkaut membersihkan timbunan sampah di Taman Sri Nanding yang terjejas teruk akibat banjir. (Gambar Tony Lian)

Kini, NGO digerakkan oleh Uncle Tony berusaha menyediakan barang keperluan seperti makanan, pakaian, kelengkapan tidur kepada beribu mangsa di pusat pemindahan sementara.

Katanya, agak sukar untuk mengambil kira sepenuhnya kemusnahan yang diakibatkan oleh banjir.

“Dalam beberapa kejadian, air naik hingga paras bumbung dan hanya boleh nampak atapnya saja. Kebanyakan rumah ini telah kosong.”

Pada minggu pertama Jan, Food4U merancang untuk menyumbang barang keperluan seperti periuk nasi, dapur, cerek dan tilam, bantal seperti pelbagai barangan lain kepada golongan memerlukan.

Dia menganggarkan terdapat 1,500 keluarga hanya di Taman Sri Nanding saja.

“Kami ingin mula melakukan sesuatu dan meminta orang ramai membantu kami menyokong komuniti di Taman Sri Nanding,” katanya.

Keadaan selepas banjir di Taman Sri Nanding. (Gambar Tony Lian)

Seruan untuk rakyat Malaysia

Katanya, tiba masanya untuk semua rakyat Malaysia bersatu untuk membantu ribuan penduduk yang terjejas kehidupan mereka.

“Mereka hilang segala-galanya yang telah dibina bertahun-tahun dan tiada apa yang tinggal untuk mereka. Saya merayu – tolong sertai, menyokong dan menyumbang.

“Ketika kita hidup selesa di rumah, jangan lupa kepada mangsa banjir yang kehidupan mereka telah hancur dan tidak mempunyai apa-apa lagi. Mari bersama-sama membawa harapan dengan menjaga mereka.”

Mengenai situasi di tempat kejadian, Uncle Tony berkata, “ia adalah pengalaman yang mengundang perasaan emosi apabila melihat kemusnahan dan kesedihan pada wajah semua – menceritakan betapa besarnya bencana yang berlaku itu.

“Terdapat keluarga yang baring dan menangis. Ada di antara mereka memegang barangan yang rosak ketika menyelamatkan apa yang boleh. Saya harap dan berdoa supaya tidak lagi melihat keadaan ini,” katanya.

Mereka yang mahu menyumbang, sila hubungi Uncle Tony di talian 017-881 2666.

Food4U
37, Jalan 2/2A
Bandar Sunway Semenyih

Email: [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.