KKM kaji pemberian dos penggalak kedua

KKM kaji pemberian dos penggalak kedua

Kementerian Kesihatan mengambil maklum satu kajian mendapati pemberian dos penggalak vaksin Pfizer kepada penerima suntikan Sinovac tidak mampu membendung jangkitan Omicron.

Kumpulan teknikal KKM akan mengemukakan syor yang berkaitan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) selepas beberapa kajian selesai, kata Khairy.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji keperluan suntikan dos penggalak kedua ekoran peningkatan penularan jangkitan varian Omicron dalam dan luar negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia kerana KKM mengambil maklum mengenai kajian asing yang mendapati pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima suntikan Sinovac tidak mampu membendung jangkitan Omicron.

Justeru, beliau berkata, kumpulan teknikal KKM akan mengemukakan syor yang berkaitan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) selepas beberapa kajian selesai.

“Kita sudah terima berita itu, justeru kumpulan teknikal sedang kaji dan selepas maklumat diperoleh, mereka akan buat syor kepada CITF seperti biasa.

“Sama ada mereka yang terima Sinovac dan (dos penggalak) Pfizer mesti diberikan satu lagi dos,” katanya pada sidang media.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan keperluan dos keempat kepada penerima Sinovac yang disuntik dos penggalak Pfizer.

Bagaimanapun, beliau berkata, terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan terhadap laporan itu.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat farmaseutikal Pfizer Albert Bourla berkata masyarakat global kemungkinan memerlukan dos keempat bagi melawan wabak Covid-19 yang kini sudah bermutasi menjadi varian Omicron.

Menurutnya, ancaman varian baharu ini membuktikan bahawa wabak itu akan terus bermutasi dan suntikan dos penggalak kedua boleh menghalang individu yang dijangkiti varian itu pada tahap kronik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.