Ketua lembaga penasihat SPRM salah faham isu, kata Kit Siang

Ketua lembaga penasihat SPRM salah faham isu, kata Kit Siang

Yang menjadi isu bukan tindakan ahli akademik Edmund Terence Gomez, tetapi dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, katanya.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Abu Zahar Ujang salah faham mengenai kontroversi membabitkan Azam Baki.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang menegur keras Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikatakan tidak faham isu berhubung dakwaan pemilikan meluas saham korporat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

“Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Abu Zahar Ujang telah tersilap orang – isunya bukanlah mengenai ahli akademik Edmund Terence Gomez, sebaliknya isunya adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki,” kata Lim dalam kenyataan.

Gomez meletak jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM pada 27 Dis, dengan berkata, ia gagal membincangkan laporan yang membabitkan pemimpin tertinggi agensi antirasuah itu.

Bagaimanapun, Pengerusi panel Borhan Dolah menjawabnya dengan berkata, Gomez tidak menamakan Azam dalam e-melnya sementara Abu Zahar dipetik dalam laporan Utusan Malaysia sebagai berkata, Lembaga Penasihat itu tidak menerima sebarang surat daripada Gomez berhubung dakwaan terhadap Azam.

Abu Zahar juga dilaporkan berkata, Gomez boleh sahaja membuat aduan kepadanya atau memfailkan laporan polis supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

“Untuk selama lebih daripada dua bulan, pertuduhan yang berat telah dibuat terhadap Azam, pertuduhan-pertuduhan ini memberikan kesan kepada peranan dan tugas beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, malah membawa kegusaran kepada usaha antirasuah SPRM sendiri,” kata Lim hari ini.

Beliau berkata, baik Azam mahupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak menjawab dakwaan itu.

“Adakah wujud pihak yang tidak dapat dilihat yang sedang bekerja untuk ‘menutup’ isu ini dan adakah pihak halimunan ini sudah sampai ke Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri?” soal Lim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.