‘Gagal’ urus banjir, PH gesa kerajaan buat sidang khas Parlimen beri penjelasan

‘Gagal’ urus banjir, PH gesa kerajaan buat sidang khas Parlimen beri penjelasan

Majlis Presiden PH turut menggesa kerajaan agar menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai banjir.

Fenomena banjir telah membuka mata semua kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia, khususnya pembalakan, memberi kesan yang amat negatif buat rakyat, menurut Majlis Presiden PH. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan anggota Jemaah Menteri mengadakan satu sidang khas Parlimen bagi memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan “kegagalan” mengurus bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

“Suara rakyat yang kedengaran di media sosial amat lantang mengkritik respons Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat setakat ‘wayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir, termasuk di Sabah, iaitu di Tenom pada Mei dan Penampang pada September.

“Malah fenomena ini telah membuka mata kita semua kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia, khususnya pembalakan, memberi kesan yang amat negatif buat rakyat,” katanya.

Mereka menggesa agar kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai banjir, iaitu bencana yang disifatkannya “mengguris hati” membabitkan kerugian harta benda yang besar dan mengorbankan hampir 50 nyawa.

Katanya, ini selaras dengan titah Agong bahawa satu proses pascanilai berhubung banjir dilakukan, termasuk buat Sabah dan Sarawak.

“Ini bagi mengenal pasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi,” tambahnya.

“Kepincangan” yang disebut PH termasuk isu enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur diberi milik untuk tujuan pembangunan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara seperti yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Majlis Presiden PH dianggotai Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Madius Tangau (UPKO).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.