
Presidennya, Mohamad Norza Zakaria berkata, Malaysia perlu mendapatkan keputusan muktamad mengenai isu berkenaan, jika tidak keadaan akan menjadi lebih buruk dari segi penganjuran acara sukan antarabangsa pada masa depan.
“Kita akan berhubung dengan kementerian untuk membawa perkara ini kepada kerajaan bagi mendapatkan penyelesaian terbaik untuk masa depan kerana jika kita mahu terus menganjurkan kejohanan antarabangsa, ini adalah isu yang pada asasnya akan timbul.
“Kita memandang serius isu ini dan meminta kerajaan segera melihat perkara ini kerana masyarakat sukan dunia sedang menunggu maklum balas daripada kita,” katanya pada sidang media.
Norza berkata, beliau telah menemui wakil Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membincangkan perkara berkenaan baru-baru ini.
Selasa lalu, sebuah portal berita asing melaporkan IOC mengeluarkan satu lagi amaran kepada negara yang enggan membenarkan atlet dari negara tertentu menyertai kejohanan besar atas sebab politik.
IOC memetik pembatalan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia pada 7 hingga 11 Dis di sini atas sebab keengganan Malaysia membenarkan atlet Israel memasuki negara serta Kejohanan Tinju Dunia AIBA yang menyaksikan pasukan tinju Kosovo tidak dibenarkan bersaing di Serbia.
Norza turut memberi jaminan MOM akan terus berhubung dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan mereka menyampaikan penjelasan betul berhubung isu tersebut.
“Sebagai contoh, mengenai kejohanan skuasy itu, kita telah memberikan penjelasan hingga peringkat Persekutuan Skuasy Dunia. Bagaimanapun, kami di MOM berpendapat kerajaan perlu membuat keputusan muktamad mengenai perkara ini. Saya rasa tidak sepatutnya terlalu banyak politik dalam sukan.”
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail percaya kerajaan akan memberi perhatian terhadap perkara itu, termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak dan agensi berkaitan tidak lama lagi bagi membantu mereka mengambil tindakan seterusnya berhubung isu tersebut.