LPPR tak terima surat berhubung dakwaan salah laku KP SPRM, kata Abu Zahar

LPPR tak terima surat berhubung dakwaan salah laku KP SPRM, kata Abu Zahar

Abu Zahar Ujang berkata pakar ekonomi Edmund Terence Gomez juga hanya bersedia membincangkan perkara itu secara dalam talian.

Menurut Abu Zahar Ujang, Edmund Terence Gomez sepatutnya mengadu perkara itu kepadanya selaku Pengerusi LPPR apabila terdapat kebuntuan untuk mengemukakan perkara yang ingin dibangkitkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tidak pernah menerima sebarang surat daripada Edmund Terence Gomez berhubung dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, kata Pengerusinya Abu Zahar Ujang.

Abu Zahar memberitahu Utusan Malaysia bahawa pegawai Sekretariat SPRM juga telah menghubungi pakar ekonomi itu untuk bersemuka bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan tetapi Edmund didakwa hanya bersedia membincangkan perkara itu secara dalam talian.

“Pegawai sekretariat ada hubungi dia (Edmund) untuk bersemuka di pejabat saya di SPRM, Putrajaya atau di Jalan Duta, malangnya beliau tidak setuju.

“Kita tidak akan berkompromi jika terdapat tindakan-tindakan yang tidak profesional dan telus terhadap mana-mana pegawai SPRM termasuk ketua jabatan,” katanya semalam

Menurut beliau, Edmund sepatutnya mengadu perkara itu kepadanya selaku Pengerusi LPPR apabila terdapat kebuntuan untuk mengemukakan perkara yang ingin dibangkitkan.

“Malah, Edmund juga boleh buat laporan polis agar tindakan yang sewajarnya diambil dan tidak sepatutnya membuat tuduhan melalui media sosial dan cetak,” katanya lagi.

Setakat ini katanya, LPPR mendapati tiada kesalahan dilakukan seperti yang didakwa dan ini adalah tohmahan yang sengaja dibangkitkan.

Media sebelum ini melaporkan, Edmund menafikan dakwaan yang beliau tidak membangkitkan dakwaan dikaitkan dengan Azam menerusi e-mel yang dihantar kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) sebelum meletak jawatan sebagai ahli panel berkenaan.

Edmund mendakwa, beliau telah menghantar sekurang-kurangnya lima lampiran berhubung salah laku dikaitkan dengan Azam dalam e-melnya kepada pengerusi panel berkenaan, Borhan Dolah.

Lampiran itu juga didakwa dihantar kepada Abu Zahar selain turut diberikan salinan PDF dengan tarikh dan kandungan surat-menyurat e-mel kepada media.

Edmund meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM pada Isnin lalu selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.