Keluarga pemain futsal upah detektif siasat kematiannya

Keluarga pemain futsal upah detektif siasat kematiannya

Menurut bapanya, terdapat banyak persoalan mengenai kematian Sean Jayabalan yang tidak terjawab, dan pihak HCTM tidak memberi maklum balas yang memuaskan.

Sean Jayabalan bersama keluarganya. Sean meninggal dunia Oktober lepas dalam kejadian yang dikatakan satu kemalangan.
PETALING JAYA:
Hari jadi Saraswathy Apparu yang ke-68 Isnin lepas diraikan dengan air mata, bukan sambutan kemeriahan.

“Dia hanya menangis dari pagi ke malam,” kata suaminya, Jayabalan G Subbiah.

Anak mereka, Sean Jayabalan, meninggal dunia Oktober lepas dalam kejadian yang dikatakan satu kemalangan.

Jayabalan and Saraswathy tidak dapat meneruskan hidup dengan sempurna dan menyambut keraian dalam keluarga kerana terlalu banyak persoalan tidak terjawab mengenai kematiannya.

Bagi mendapatkan jawapan, keluarga ini telah mengupah penyiasat persendirian.

Jayabalan berkata, penyiasat itu adalah rakannya yang pernah berkhidmat sebagai pegawai risikan tentera.

“Saya harap saya boleh dapatkan jawapan mengenai kematiannya, tetapi saya tahu ia memerlukan masa,” katanya kepada FMT.

“Ia sangat menyakitkan, bangun setiap pagi dalam keadaan putus asa.”

Beliau menghantar banyak e-mel kepada Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Razman Jarmin katanya, dengan soalan mengenai peristiwa berkaitan kematian Sean.

E-mel pertama yang dihantar pada 27 Nov mengandungi 28 soalan, antaranya adalah:

  • Mengapa Sean dihantar ke HCTM, sedangkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) berada lebih dekat dengan lokasi kemalangan?
  • Mengapa HCTM enggan menjalankan bedah siasat seperti yang diminta polis?

Beliau juga memberitahu Razman bahawa punca kematian yang dinyatakan – “kecederaan berbilang yang konsisten dengan insiden membabitkan kenderaan bermotor dan Covid-19” – sebagai tidak jelas dan mengelirukan.

Jawapan Pengarah itu tidak memuaskan dan jawapan HCTM kepada pertanyaan berikutnya juga tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Dalam e-mel yang dilihat FMT, Jabatan Perundangan HCTM kemudiannya memberitahu Jayabalan bahawa kematian itu dikategorikan sebagai kes polis dan beliau harus menghubungi pegawai penyiasat yang mengendalikan kes itu.

“Berhubung laporan bedah siasat, anda boleh menghubungi ketua Unit Forensik Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik untuk mendapatkan laporan tersebut (tertakluk kepada peraturan dan polisi jabatan),” kata HCTM dalam e-mel tersebut.

Jawapan itu mengecewakan Jayabalan.

“Saya hanya mencari jawapan kepada soalan-soalan saya yang mereka tak dapat jawab,” katanya.

Susulan itu katanya, beliau menulis kepada Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

““Seorang pegawai di Bukit Aman menghubungi saya dan memberitahu mereka sedang menyiasat perkara ini. Beliau meminta saya berikan lebih butiran mengenai kes ini dan saya telah memberi semua laporan polis berkaitan.

“Katanya, beliau akan memberi maklum balas melalui e-mel, namun tidak memberi garis masa.”

Sehingga kini, Jayabalan masih menunggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.