Kastam P Pinang rampas 18kg syabu dalam tayar basikal kanak-kanak

Kastam P Pinang rampas 18kg syabu dalam tayar basikal kanak-kanak

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar kegiatan pengedaran dadah menggunakan syarikat kurier dengan nilai rampasan RM1.8 juta.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang kini mengesan mereka yang terlibat dan mengenal pasti sama ada sindiket tersebut pernah menjalankan kegiatan sama, kata Pengarahnya Abdul Halim Ramli. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar kegiatan pengedaran dadah menggunakan syarikat kurier selepas merampas lebih 18kg dadah bernilai RM1.8 juta dalam serbuan di Pusat Perniagaan Raja Uda, Butterworth, pada 22 Dis lepas.

Pengarahnya Abdul Halim Ramli berkata, sepasukan pegawai unit narkotik jabatan itu membuat pemeriksaan di syarikat kurier tersebut pada 6 petang dan merampas 10 kotak bungkusan mengandungi rangka basikal kanak-kanak bersama tayar dan rim.

Bernama melaporkan beliau berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 10 kotak bungkusan itu yang melibatkan satu alamat pengirim di Pulau Pinang, iaitu syarikat menjual basikal untuk dihantar ke negara di Oceania.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas satu daripada kotak tersebut menemui bungkusan dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan dalam tayar basikal tersebut dipercayai untuk dieksport ke luar negara dengan menggunakan taktik itu untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar.

Katanya, sebanyak 104 bungkusan plastik dadah jenis methamphetamine ditemui dalam 10 kotak berkenaan, iaitu keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak 18.028kg bernilai RM1.8 juta.

Abdul Halim berkata, pihaknya telah merekodkan beberapa keterangan bagi membantu siasatan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan mereka yang terlibat dan mengenal pasti sama ada sindiket tersebut pernah menjalankan kegiatan sama sebelum ini.

“Saya minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tersebut agar menghubungi pihak kastam bagi bersama-sama membanteras aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.