
Jurucakap SSR, Mohammad Asraf Sharafi berkata,16 orang anak muda yang terlibat bersolidariti pada malam itu memfailkan writ saman pada 30 Dis atas beberapa faktor.
Katanya, antaranya faktor penangkapan yang salah, serangan yang tidak wajar, pelanggaran hak Perlembagaan di bawah Perkara 5, 8, 9 dan 10, pelanggaran tanggungjawab berkanun dan salah laku jawatan awam.
“Malam tersebut yang sepatutnya menjadi malam memperingati 13,385 rakyat Malaysia yang telah pergi akibat wabak Covid-19 bertukar menjadi malam pihak polis menahan para peserta dengan kasar dan ganas.
“Saya melihat bagaimana peserta diheret, ditengking dan didera oleh pihak polis pada malam itu. Ini bukanlah ciri negara yang demokratik dan kerajaan yang “prihatin”,” katanya pada sidang media yang disiarkan melalui aplikasi Zoom.
Pada 20 Ogos lalu, polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM62,000 terhadap 31 ahli SSR kerana menganjur serta menyertai perhimpunan di padang Dataran Merdeka pada malam 19 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, ahli SSR itu dikompaun RM2,000 setiap seorang selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana terbabit dalam perhimpunan bermula jam 8 malam.
Dalam pada itu, Asraf berkata, malam tersebut sepatutnya menjadi malam peringatan dan cerminan derita rakyat, namun tindak balas kerajaan bukanlah untuk mengerti dan menyelesaikan masalah rakyat tetapi untuk mendiamkan tangisan mereka.
“Bukankah kerajaan itu harus adil dan mengerti. Bukankah zalim kalau keperitan kita semua diabaikan begitu sahaja,” katanya.
Sementara itu, peguam kepada SSR, New Sin Yew berkata, kejadian pada malam tersebut adalah sesuatu yang amat memalukan dan tidak sewajarnya terjadi memandangkan peserta yang terlibat hanya ingin mengenang rakan-rakan, ahli keluarga dan rakyat Malaysia yang telah menjadi mangsa Covid-19.
Katanya, hanya sekadar menyalakan lilin, membaca puisi dan meletakkan bunga ros sebagai simbolik mereka dilayan dengan kasar sehingga ada yang dikasari serta diheret.
“Malah disebabkan tangkapan itu, peserta diletakkan dalam keadaan yang lebih tidak selamat dengan dipaksa duduk berhimpit di tempat tertutup.
“Kes ini amat penting untuk dibawa ke mahkamah kerana kes ini merupakan cerminan kepada doktrin pembahagian kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya.
New berkata, kekhilafan dan salah laku oleh mereka yang berkuasa haruslah disemak dan diimbang.
Katanya, tingkah laku polis pada malam 19 Ogos menunjukkan salah guna kuasa yang ketara dan pengabaian hak asasi setiap rakyat Malaysia yang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.
Asraf pula berkata, SSR menegaskan ruang demokrasi tidak perlu ditutup walaupun ketika musim pandemik malah seharusnya perlu dipandu.
Katanya, polis selaku penjaga keselamatan awam malah harus lebih meraikan pihak-pihak yang ingin menggunakan ruang tersebut untuk menuntut pertanggungjawaban kerajaan dan bersolidariti atas kesusahan yang menimpa rakyat.