
Mereka berkata, Parlimen harus terlibat mendapatkan pendedahan penuh tentang semua aset dipegang Azam, termasuk yang dimiliki isterinya, anak dan saudara-maranya.
Mereka juga menggesa pendedahan penuh semua aset yang dipegang mana-mana Pesuruhjaya SPRM, sama ada bekas atau yang masih berkhidmat, untuk memastikan integriti agensi antirasuah itu.
“Kami mencadangkan Azam mengambil cuti bagi memudahkan siasatan pihak berkuasa.
“Kami mencadangkan tindakan segera bagi menangani dakwaan tersebut dan membersihkan nama baik SPRM, sekiranya dakwaan tersebut terbukti tidak benar,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Ahli Parlimen terbabit adalah Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Hassan Karim (Pasir Gudang), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) dan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang).
Mereka juga mencadangkan undang-undang, dasar, prosedur operasi standard (SOP) serta semak dan imbang dilakukan untuk mengukuhkan SPRM.
Katanya, langkah itu dapat meningkatkan kesedaran kakitangan di semua peringkat berhubung keperluan membanteras rasuah dan salah guna kuasa secara dalaman dan luaran.
“Pada masa sama, sekiranya panel pemantau SPRM enggan menyiasat dan memandangkan SPRM sendiri tidak boleh menyiasat ketuanya sendiri, polis harus memulakan siasatan berdasarkan semua maklumat sedia ada dalam domain awam.”
Pada 27 Dis lalu, Edmund Terence Gomez mengejutkan beberapa pihak dengan peletakan jawatannya sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM kerana mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi agensi terbabit.
Gomez dalam surat peletakan jawatannya berkata, timbul persoalan berkait “hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa” serta situasi “konflik kepentingan” membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan pegawai terbabit memiliki saham dalam syarikat.