
Menyedari mangsa banjir memerlukan wang tunai dengan segera, katanya, kerajaan membuat bayaran RM1,000 Bantuan Wang Ihsan (BWI) sejak Isnin lalu.
“Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.4 bilion bagi membantu mangsa banjir.
Sehingga kini, katanya, 25 waris mangsa korban banjir telah menerima RM10,000 setiap keluarga, manakala lebih 30,000 ketua isi rumah didaftarkan untuk menerima BWI.
Ismail berkata, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk kerja pasca banjir, selain menambah RM50 juta lagi kepada Selangor dan Pahang bagi kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk serta fasiliti awam yang rosak.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor giat menjalankan kerja pembersihan di kawasan terjejas.
“Kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta tambahan, antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa.”
Setakat semalam, sejumlah 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka yang membabitkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT.