
Bersama Long Tiger, tiga lagi individu lelaki yang berusia 36, 38, dan 46 tahun dipercayai terlibat memberi perlindungan kepadanya.
Memetik laporan Utusan Malaysia, keempat-empat mereka kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Januari.
Perintah reman terhadap Long Tiger dikeluarkan majistret Analia Kamaruddin bagi siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama.
Semasa tangkapan pada jam 3.15 petang semalam oleh polis Bukit Aman itu, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah.
Susulan pemeriksaan di rumah itu, polis menahan seorang lelaki berperwatakan perempuan berusia 46 tahun.
Terdahulu Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, bertindak meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay dijangka mengadakan sidang media khas mengenai tangkapan Long Tiger dan tiga suspek terbabit di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, tengah hari ini.