Jual rantai emas curi, pembantu kantin dipenjara 6 bulan

Jual rantai emas curi, pembantu kantin dipenjara 6 bulan

Tertuduh didakwa memindahkan harta curi iaitu menjual kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Smart Venture Sdn Bhd seutas rantai leher emas seberat 14.72g milik wanita 81 tahun.

Nazrini Shuhada Abdullah, 27, dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Desa Darul Naim Mukim Gunung, dekat Kota Bharu, pada 30 Nov 2021. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang pembantu kantin selepas dia didapati bersalah menjual barang kemas yang dicurinya daripada seorang warga emas, November lalu.

Tertuduh, Nazrini Shuhada Abdullah, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Tertuduh didakwa memindahkan harta curi, iaitu dengan menjual kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Smart Venture Sdn Bhd seutas rantai leher emas seberat 14.72g milik seorang warga emas wanita berusia 81 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Desa Darul Naim Mukim Gunung, dekat Kota Bharu pada 30 Nov 2021, menurut laporan Harian Metro.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di rumah seorang diri, tertuduh yang tidak dikenali datang bersama anaknya dengan menaiki motosikal dan menarik rantai emas yang dipakai warga emas itu.

Mangsa mengalami luka di bahagian leher dan anggaran kerugian adalah sebanyak RM3,000 sebelum warga emas itu membuat laporan di Balai Polis Binjai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan dan tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Siti Atikah merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum kepada tertuduh kerana dia mempunyai seorang anak yang kecil dan hanya bekerja sebagai pembantu kantin dengan pendapatan RM30 sehari.

“Saya percaya hukuman penjara menyebabkan wanita itu akan tinggal berasingan dengan anaknya. Hukuman ini akan diambil iktibar dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, Asmah memohon hukuman yang setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan yang bermula hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.