
ADUN Meru, Fakhrulrazi Mokhtar, berkata beliau khuatir sekiranya tiada pemantauan rapi dibuat, terdapat pihak berkepentingan menganggotai jawatankuasa masjid akan cuba melindungi atau mencari helah membenarkan individu terdiri daripada aktivis politik, terus mengajar di surau atau masjid.
“Kita tidak mahu keputusan daripada titah Tuanku (Sultan Selangor) ini sekadar di atas kertas saja, kita harap JAIS benar-benar agresif dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang salah guna masjid untuk kepentingan politik.
“Kita yakin orang dalam masjid tu sendiri akan melindungi atau mencari helah untuk membenarkan pengajar yang aktivis politik untuk mengajar,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mendedahkan, sebahagian besar masjid dan surau di Selangor berada di bawah “kawalan” PAS, dan sebagai bukti beliau sendiri sebagai ADUN parti kerajaan dihalang oleh “orang masjid” untuk mengajar.
“Sebelum Pakatan Rakyat ambil alih Selangor dari Barisan Nasional (pada 2008), memang surau-surau ada agenda untuk dikuasai oleh orang politik.. sebab saya dulu pun dalam PAS, tetapi kita tak sangka sampai (masjid dan surau) dipolitikkan ke tahap ini, sepatutnya masjid jadi tempat untuk satukan semua tetapi dijadikan medan ideologi politik,” katanya.
Terdahulu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengumumkan, tauliah mengajar agama yang diberikan kepada aktivis politik di Selangor ditarik balik berkuat kuasa 31 Dis ini.
Pengerusi MAIS Abdul Aziz Yusof, berkata keputusan itu bagi menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, agar Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, terutama di masjid dan surau.
Menyifatkan keputusan itu sebagai adil kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik, Fakhrulrazi menggesa orang ramai menyalurkan aduan sekiranya masih terdapat sebarang aktiviti pengajaran oleh orang politik di dalam masjid dan surau.
“Sebab saya yakin perkara ini pasti akan berlaku sebab kita faham penguatkuasaan JAIS tak cukup kakitangan.. dalam JAIS pun ada orang politik juga yang kawal,” katanya sambil menambah langkah berkenaan mampu memastikan masjid dan surau bersih daripada sebarang persepsi “gelanggang berpolitik” oleh mana-mana pihak.
“Tidak semua maklumat, (pihak) atasan tahu. Jadi bila Tuanku dah titah dan MAIS buat keputusan, maknanya Tuanku tahu (perkara itu berlaku) dan cakna mengenainya dan Baginda sendiri nak pastikan masjid tidak disalahguna,” tambahnya.
Pada 26 Ogos lalu, Fakhrulrazi mendapat perhatian media apabila bertindak melemparkan kad tauliahnya ketika berbahas di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, selepas tidak puas hati dilarang untuk memberi ceramah agama di masjid dan surau di sekitar Selangor termasuk di kawasannya.