
Persatuan Industri Am Malaysia (PIAM) berkata, anggaran itu termasuk tuntutan peribadi sebenar dan berpotensi serta risiko komersial berpunca secara langsung daripada banjir kilat dan musim tengkujuh dalam beberapa minggu serta bulan akan datang.
PIAM dalam kenyataan berkata, sebagai tambahan kepada jumlah bayaran tuntutan yang dianggarkan itu, industri insurans am turut menyumbang RM2.43 juta kepada Dana Bantuan Banjir@Disember 2021 yang baharu ditubuhkan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong komuniti permotoran yang terjejas teruk.
“Inisiatif industri insurans am ini akan melebihi komitmen sedia ada penanggung insurans sejak bencana banjir berlaku untuk mempercepatkan penyelesaian tuntutan, menyediakan langkah bantuan khas tambahan dan bantuan ‘ad hoc ex-gratia’ lanjut seperti yang ditentukan penanggung insurans am individu.”
Menurut kenyataan itu, bantuan CSR itu pada awalnya adalah dalam bentuk subsidi ke arah pembersihan di bengkel untuk kenderaan terjejas secara langsung akibat banjir yang belum dibaiki ketika ini.
Katanya, subsidi RM500 bagi kereta atau kenderaan perdagangan serta RM100 untuk motosikal itu dihadkan sekali bagi setiap kenderaan.
“Pihak yang menuntut perlu mengemukakan bukti tentang kerosakan banjir pada kenderaan mereka dan bukti perlindungan insurans terdahulu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Katanya, semua jenis polisi motor dengan atau tanpa perlindungan banjir layak membuat tuntutan dengan syarat kenderaan itu perlu diinsuranskan ketika ini atau kali terakhir pada 1 Jun 2021.
“Pada peringkat ini, dana akan ditutup sebaik sahaja jumlah yang dicagarkan sebanyak RM2.43 juta habis digunakan.”
Selaras objektif CSR, PIAM mengalu-alukan sumbangan pihak atau industri lain kepada tabung bantuan banjir yang akan memanjangkan hayat dana itu dan membantu lebih ramai pemandu terjejas.