
Buat masa ini, ketua isi rumah yang terjejas layak menerima bantuan khas berjumlah RM1,000 bawah program Bantuan Wang Ihsan.
Bagaimanapun Ketua Umno Bahagian Temerloh Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu mempertimbangkan untuk menaikkan pemberian bantuan itu kepada RM5,000 berikutan kerugian besar yang dialami mereka di kawasan terjejas.
“Rata-rata mangsa merupakan golongan berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan kerajaan bagi memulihkan kembali kehidupan mereka,” katanya.

“Dengan RM5,000 itu nanti, ia membolehkan mereka membeli peralatan rumah yang rosak seperti periuk nasi elektrik, televisyen, mesin basuh dan juga peti ais.
“Tangguhkan sementara projek-projek mega yang ingin dilaksanakan seperti projek 5G dan beri tumpuan penuh kepada usaha membantu rakyat yang terjejas teruk ekoran musibah banjir kali ini,” katanya.
Beliau yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno berkata, ramai penduduk di kawasannya yang tinggal berdekatan sungai mengalami kerugian penuh akibat kemusnahan itu.
Katanya, ia disebabkan arus air terlalu deras dan naik begitu cepat sehingga mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.
“Ia menyukarkan mereka untuk bangkit semula kerana belum pun berakhir kemelut ekonomi dihadapi rakyat kesan penularan Covid-19, kini diuji pula dengan banjir pula,” katanya.