
Pemendekan hari persidangan itu diusulkan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali ekoran penularan Covid-19 dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kakitangan dan petugas DUN.
Katanya, usul itu dicadangkan berdasarkan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN 9(3) dan 17(5)(m), selain mengikut saranan Jabatan Kesihatan Melaka bagi mengelakkan jangkitan wabak berkenaan.
“Peraturan tersebut menyatakan walau apapun peruntukan peraturan mesyuarat, DUN boleh dengan undi tertentu mengambil keputusan membincangkan apa-apa urusan khas dengan tidak mengikut susunan lazim dan satu usul bagi pengundian itu hendaklah didahulukan daripada semua urusan lain.
“Seterusnya, Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN 17(5)(m) menyatakan usul hendaklah menjalankan dahulu mana-mana urusan tertentu dengan tidak mengikut susunan biasa,” katanya dipetik Bernama ketika mencadangkan usul berkenaan.
Sulaiman berkata, pada persidangan DUN itu, tiada sesi pertanyaan lisan dan bertulis serta ucapan penangguhan diadakan ekoran kekangan masa, sebaliknya ia menumpukan kepada pembentangan Bajet 2022 Melaka.
Usul itu disokong Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Ab Rauf Yusoh yang berkata, persidangan itu meliputi agenda yang disusun mengikut keutamaan bagi melicinkan urusan pentadbiran kerajaan negeri semasa wabak Covid-19 masih menular di negeri itu.
Usul itu mendapat sokongan 15 ADUN, berkecuali (enam orang) dan tidak hadir (tujuh orang).
Sementara itu, Bernama melaporkan tujuh ADUN Melaka tidak hadir ke persidangan hari ini kerana Covid-19.
Sulaiman mengesahkan perkara itu dengan berkata, ujian saringan pada Jumaat lalu mendapati empat ADUN positif Covid-19, manakala tiga lagi yang tidak hadir hari ini merupakan kontak rapat.
“Kali ini, kita bermesyuarat dalam keadaan berbeza, tidak mengikut peraturan seperti mana notis kita berikan tempoh hari disebabkan Covid-19,” katanya di luar sidang DUN Melaka.
Tujuh ADUN yang tidak hadir itu ialah Rahmad Mariman (Ayer Molek), Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai), Rosli Abdullah (Kuala Linggi), Adly Zahari (Bukit Katil), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia).