Rizal Mansor bukan Pegawai Khas Rosmah, mahkamah diberitahu

Rizal Mansor bukan Pegawai Khas Rosmah, mahkamah diberitahu

Bekas Pegawai Khas Najib Razak, Siti Azizah Sheikh Abod, berkata Rizal Mansor telah memberikan gambaran salah mengenai dirinya.

Siti Azizah Sheikh Abod berkata, ‘perlakuan penipuan’ oleh Rizal Mansor memberikan gambaran yang salah kepada pihak ketiga dan merumitkan keadaan.
KUALA LUMPUR:
Rizal Mansor memberikan gambaran yang salah kepada penjawat awam dan agensi kerajaan lain kerana mendakwa dirinya adalah Pegawai Khas kepada Rosmah Mansor, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Bekas Pegawai Khas kepada Najib Razak, Siti Azizah Sheikh Abod berkata, “perlakuan penipuan” oleh Rizal itu memberikan gambaran yang salah kepada pihak ketiga dan merumitkan keadaan.

“Beliau menyalahgunakan kuasa dan memburukkan imej Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM) di Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya dalam keterangan saksi perbicaraan kes rasuah Rosmah berkaitan projek tenaga solar sekolah di Sarawak.

Siti, saksi pembelaan kedua yang dipanggil pada Jumaat, hanya membacakan 13 daripada 60 muka surat keterangan saksi sebelum prosiding ditangguhkan.

Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 402B (6) Kanun Tatacara Jenayah (CPC) bahawa Siti hendakah membacakan seluruh kenyataan selepas menandatangani dokumen itu.

Siti, 72, yang akan berlepas untuk menunaikan umrah esok, akan kembali untuk pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan dan pemeriksaan semula oleh peguam Rosmah pada 4 Feb.

Siti yang bersara daripada perkhidmatan awam pada 2006, memulakan tugas sebagai kakitangan kontrak dengan menjadi Pegawai Khas kepada Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Beliau turut memberitahu mahkamah minggu lalu bahawa beliau adalah satu-satunya Pegawai Khas kepada Najib dan tiada pelantikan khas lain dibuat untuk memenuhi keperluan Rosmah.

Jawapan Siti dalam kenyataan itu dibuat selepas Rizal, saksi utama pendakwaan, memberitahu mahkamah sebelum ini bahawa beliau adalah Pegawai Khas kepada Rosmah ketika Najib menjadi Perdana Menteri dari April 2009 hingga Mei 2018.

Rizal memberi keterangan bahawa jawatannya sebagai Pegawai Khas diketahui oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan penjawat awam di kementerian lain.

Siti, yang kemudiannya menjadi Pengarah Bahagian FLOM yang dijenamakan semula di JPM berkata, Rizal hanya dilantik sebagai penolong pegawai dengan fungsi khas.

“Tiada terdapat nama jawatan sebagai Pegawai Khas kepada Rosmah seperti yang dinyatakan oleh Rizal. Ini adalah semata-mata interpretasi Rizal sendiri dan mungkin baginya dengan nama jawatan sedemikian ia akan menaikkan imej dan ‘importance’ beliau dalam kalangan mereka yang berurusan secara langsung dengannya,” katanya.

Rizal berkata, dia dilantik sebagai Pegawai Khas untuk mengendalikan hal ehwal Rosmah termasuk media sosial dan tradisional.

Siti berkata, Rizal memberikan gambaran yang salah mengenai dirinya terhadap bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Abang Samsudin dan rakan perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah.

“Saya tidak kenal dan tidak pernah memberi arahan kepada Rizal untuk berjumpa dengan Rayyan dan Saidi. Apa yang Rizal lakukan atau laksanakan di luar pengetahuan saya dan tanpa pengetahuan saya itu bukanlah menjadi tanggungjawab saya.”

Katanya, beliau mendapat tahu bahawa empat tuduhan rasuah terhadap Rizal digugurkan sebulan sebelum perbicaraan kes Rosmah bermula pada Februari tahun lalu hanya menerusi laporan media.

Rosmah dituduh meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai imbuhan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau turut didakwa atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016. Rosmah juga dikatakan turut menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Pendengaran akan bersambung pada 10 Jan dengan Najib akan memberikan keterangan sebagai saksi pembelaan terakhir di pihak isterinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.