Polis siasat komen lucah terhadap Ain, bekas rakan sekelas dipercayai terlibat

Polis siasat komen lucah terhadap Ain, bekas rakan sekelas dipercayai terlibat

Polis berkata catatan menyinggung perasaan di laman Tumblr itu dipadamkan selepas pelajar terbabit menghubungi pelakunya.

Polis mengenal pasti perbuatan itu dilakukan bekas rakan sekelas Ain Husniza.
PETALING JAYA:
Polis hari ini mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap komen berbaur lucah yang dibuat dalam talian mengenai pelajar Ain Husniza.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata catatan menyinggung perasaan di laman Tumblr itu dipadamkan selepas Ain menghubungi pelakunya.

Katanya, polis mengenal pasti perbuatan itu dilakukan bekas rakan sekelas pelajar terbabit.

Beberapa hari lalu, bapanya, Saiful Nizam berkongsi tangkap layar sebelum membuat bebenang ciapan dalam Twitternya yang didakwa dilakukan orang sama dan berbaur lucah.

Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 509, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 pula memperuntukkan penjara sehingga setahun, atau denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kenyataan atau paparan yang boleh mengaibkan diri seseorang dalam medium media sosial kerana ia boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas pelaku,” kata Zaid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.