Baru nak bangkit dibadai banjir pula, pengusaha rumah inap tanggung rugi

Baru nak bangkit dibadai banjir pula, pengusaha rumah inap tanggung rugi

Pengusaha bina perniagaan atas tanah pusaka keluarga akui sukar kembali pulih setelah kerugian kira-kira RM50,000 susulan bencana minggu lalu.

Mohamad Kamarul Anuar, 26, mengakui menanggung kerugian puluhan ribu ringgit akibat banjir itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dalam kerancakan membina semula perniagaan, nasib seorang pengusaha rumah inap di Sungai Lui di sini tidak ubah jatuh ditimpa tangga apabila terpaksa berdepan bencana banjir baru-baru ini yang merencatkan kebangkitannya.

Mohamad Kamarul Anuar, 26, yang memulakan perniagaan empat tahun lepas di tanah pusaka milik keluarga, terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50,000 dan mengaku bahawa sedikit sukar bagi beliau untuk kembali memulihkan perusahaannya itu.

“Masa hari kejadian tu (18 Dis), kami baru sahaja selesai mengendalikan satu majlis perkahwinan di tempat kami dan itu merupakan acara yang pertama di tempat ini setelah sekian lama kami tak menjalankan perniagaan semenjak tempoh perintah kawalan pergerakan ditamatkan.

“Kalau ikutkan pada hujung tahun ini hinggalah awal tahun depan, tempahan kami penuh tapi malangnya sebaik sahaja kami baru nak bermula semula, bencana ini menimpa,” katanya kepada Bernama di Teratak Dusun D’Lui hari ini.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Teratak Dusun D’Lui mendapati katil, perabot, barang keperluan katering musnah ditenggelami banjir manakala beberapa lot baharu rumah inap yang dalam proses pembinaan turut musnah.

Mohamad berkata berdasarkan model perniagaan yang menumpukan kepada pakej mampu milik ditambah pula dengan usia perusahaan itu yang masih muda, beliau tidak mampu menampung kerugian yang dialami akibat bencana banjir itu.

“Di sini, satu majlis kami kenakan (bayaran) dalam anggaran RM3,000 ke RM4,000 bergantung kepada permintaan pelanggan dan majlis bukannya ada hari-hari, begitu juga dengan (permintaan untuk) rumah inap,” katanya.

Meskipun begitu, graduan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah itu terus kekal optimis dan menjangkakan perniagaannya kembali beroperasi pada pertengahan 2022.
“Musibah kita tak boleh nak jangka, apa-apa pun kita kena bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Jika kita rasa kita dah teruk, mungkin ada yang lebih teruk dengan rumah yang hilang, ada yang sampai kehilangan nyawa, apa-apa pun kita kena bersyukur dengan apa yang kita ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.