Minta Twitter padam ciapan banjir, PH seru Pengerusi SKMM ‘digugurkan’

Minta Twitter padam ciapan banjir, PH seru Pengerusi SKMM ‘digugurkan’

Majlis Presiden PH mengingatkan kerajaan dan SKMM bahawa rakyat berhak bersuara, terutamanya dalam isu yang paling menekan.

Menurut PH, tindakan SKMM meminta Twitter memadam ciapan yang mengkritik tindak balas kerajaan ketika bencana banjir baru-baru ini bersifat ‘anti-demokratik’. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) “digugurkan segera” berikutan percubaan badan kawal selia itu untuk menapis kandungan di media sosial berkaitan bencana banjir.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa SKMM meminta Twitter memadam ciapan dan tanda pagar yang mengkritik cara kerajaan menangani bencana banjir baru-baru ini.

SKMM mendakwa, ia terpaksa mengambil tindakan sedemikian demi “menegakkan undang-undang Malaysia”.

Namun, usahanya gagal apabila Twitter enggan mengambil sebarang tindakan terhadap ciapan-ciapan terbabit.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan SKMM itu bersifat “anti-demokratik”.

“Yang paling kami kesali adalah bagaimana SKMM diperalat pemerintah untuk menutup mulut rakyat, terutama apabila rakyat sedang tenat dan sengsara akibat banjir,” katanya.

Ia turut mengingatkan kerajaan dan SKMM bahawa rakyat berhak bersuara, terutamanya dalam isu yang paling menekan, “sama ada isu kos sara hidup, bencana, mahupun kepincangan kepimpinan di Putrajaya”.

Kerajaan dan badan-badan seperti SKMM, katanya, perlu faham bahawa demokrasi dan suara rakyat perlu dihormati dan dirai, bukan digugat seperti yang sedang berlaku.

“Oleh itu kami menggesa agar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SKMM digugurkan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.