
Ketua Pengarahnya, Muhammad Hamdan Wahid berkata, susulan penemuan itu, pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara agresif dengan menggerakkan segala aset bomba serta bantuan agensi lain.
“Kita percaya dalam keadaan sekarang ini tugas SAR mencari mangsa hilang cukup mencabar untuk pasukan bomba kerana selepas air banjir lumpur surut, timbunan batang kayu, sampah selut, belukar termasuk bahan binaan musnah dan sebagainya timbul.
“Semalam kita berjaya menemui dan mengeluarkan mayat mangsa lemas dalam banjir lumpur pada kedalaman 3.65m yang dikesan menggunakan khidmat unit K9,” katanya menurut laporan Sinar Harian, ketika sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Sri Muda.
Beliau berkata, pihaknya sedang giat menjalankan operasi SAR melibatkan lima mangsa termasuk di Kampung Tanjung, Telemong, Bentong; Laman Pesona Cheroh, Raub; dan Taman Tas, Kuantan di Pahang.
“Kita turut menggerakkan semua aset bomba termasuk unit K9 bagi mengesan kesemua mangsa yang dilaporkan masih hilang. Operasi SAR itu diberi keutamaan bomba ketika ini kerana ia melibatkan soal nyawa,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut menjalankan operasi pemantauan menyeluruh di kesemua lokasi berisiko banjir di tiga negeri utama iaitu Pahang, Sarawak dan Selangor.
JBPM katanya, juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir dalam masa terdekat yang dijangkakan pada 29 Disember ini berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Berikutan perkara itu, pihak bomba akan memperhebatkan pemantauan dengan tumpuan di 34 kawasan di Sarawak, 20 kawasan berisiko banjir di Selangor dan 17 kawasan berisiko di Pahang,” ujarnya.