MARA beri kelonggaran kepada peminjam terjejas banjir

MARA beri kelonggaran kepada peminjam terjejas banjir

Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata, usaha itu adalah tanda keprihatinan mereka terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung mangsa.

Mahdzir Khalid turut berkata, MARA tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam yang terkesan dengan bencana banjir kali ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran penjadualan bayaran balik pinjaman, termasuk pengecualian sewaan premis perniagaan, kepada peminjam yang terjejas akibat banjir.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata, usaha itu adalah tanda keprihatinan terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung oleh mangsa dalam bencana berkenaan.

“MARA memberi kelonggaran untuk penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran kepada mereka yang terlibat. Peminjam perniagaan turut diberi kelonggaran itu, selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

“Mereka boleh memohon untuk mendapatkan kelonggaran itu dengan menghubungi pejabat MARA negeri atau daerah berhampiran.

Katanya, buat masa ini, MARA tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam yang terkesan dengan bencana banjir kali ini.

“Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung.

“Saya berharap insentif ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban peminjam terutamanya usahawan dalam memulihkan kembali operasi dan aliran tunai syarikat,” katanya.

Peminjam boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai insentif bencana banjir itu dengan melayari laman sesawang MARA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.