
Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pihaknya tidak pernah “memilih” mangsa, sebaliknya berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan semua mangsa banjir berdasarkan kapasiti bot.
“Contohnya, bot kapasiti 10 orang, takkan nak bawa sampai 20 orang?
“Kita tak pernah memilih mangsa pun. Kita bantu berdasarkan alamat diberi.
“Alamat itu kita pergi dan ambil. Mana yang orang boleh naik (bot), kita bagi naik,” katanya ketika dihubungi FMT.
Terdahulu, seorang pengguna Twitter mendakwa pasukan bomba mengamalkan sikap memilih mangsa banjir di Taman Sri Muda, termasuk tidak memberikan jaket keselamatan kepada sesetengah mangsa banjir di kawasan terbabit.
Norazam bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata, jaket keselamatan diutamakan kepada mangsa banjir.
“Kita tak pernah tak bagi jaket. Kita bantu, tak ada ‘double standard’. Tak pernah buat macam itu,” katanya.