Bapa hanya sempat selamatkan anak lelaki, anak perempuan lemas

Bapa hanya sempat selamatkan anak lelaki, anak perempuan lemas

Seorang bapa hanya mampu menitiskan air mata sebaik jasad anak perempuannya ditemui.

Pasukan bomba dan penyelamat sedang mencari Siti Alia Nasuha sambil disaksikan orang ramai di pinggir sungai Kampung Pengkalan Teluk, Gual Periok di Pasir Mas. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang bapa hanya sempat menyelamatkan seorang daripada dua anaknya yang lemas selepas dibawa arus dalam kejadian di pinggir sungai Kampung Pengkalan Teluk, Gual Periok, Pasir Mas.

Selepas berjaya menyelamatkan anak lelakinya, Mohd Akid Akmal, 11, lelaki berusia 40 tahun itu meminta pertolongan kerana mendapati anak perempuannya, Siti Alia Nasuha, 13, turut dibawa arus deras.

Mohd Rosli Abdullah ketika menceritakan detik hitam itu berkata, beliau tidak menyangka Alia sudah dibawa arus ketika bergegas menyelamatkan Akid.

“Saya selamatkan anak lelaki daripada lemas, tidak sangka ada seorang lagi anak perempuan sudah dibawa arus dan meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku terlalu cepat sedangkan beliau turut berada di lokasi kejadian sebelum mendengar jeritan Akid dan terus terjun ke sungai menyelamatkannya, selain turut dibantu orang awam di sana.

“Bagaimanapun, belum habis ketakutan kehilangan anak lelaki, saya baru menyedari anak perempuan turut hilang dibawa arus. Saya kaku kelemahan bagaikan tidak percaya dan hanya mampu menjerit meminta tolong orang yang ada di lokasi untuk membantu mencari Siti Alia.

“Namun, air terlalu deras dan saya hanya menunggu bantuan daripada pihak bomba untuk mencari Siti Alia. Tak dapat saya gambarkan perasaan sepanjang operasi mencarinya dan tidak berhenti berdoa anak saya selamat, walaupun sedar peluang agak tipis.

“Sebaik jasad anak perempuan saya ditemui, saya hanya mampu menitiskan air mata, namun dalam masa sama cuba reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Pasukan bomba dan penyelamat sedang mencari Siti Alia Nasuha sambil disaksikan orang ramai di pinggir sungai Kampung Pengkalan Teluk, Gual Periok di Pasir Mas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.