Banjir di Pahang: Penternak ikan alami kerugian lebih RM1.4 juta

Banjir di Pahang: Penternak ikan alami kerugian lebih RM1.4 juta

Jabatan Perikanan menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila banjir surut.

Nelayan di sepanjang Sungai Pahang dekat Temerloh, Pahang, sebelum banjir. Banyak sangkar dan kolam penternakan ikan di sepanjang sungai berkenaan musnah akibat arus deras. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 73 penternak ikan air tawar mengalami kerugian lebih RM1.4 juta akibat banjir di Pahang setakat ini.

Banyak sangkar dan kolam di daerah Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan musnah akibat banjir.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar menjangkakan kerugian meningkat kerana beberapa daerah masih ditenggelami air.

“Jabatan menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila bencana banjir surut sepenuhnya nanti,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

“Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini.”

Katanya, banyak sangkar ikan di sepanjang Sungai Pahang musnah akibat arus deras dan pokok tumbang.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan semakan kerugian sebelum menyerahkan maklumat kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi pertimbangan bantuan bawah Tabung Bencana Pertanian.

Terdapat 1,700 penternak akuakultur berdaftar di negeri ini setakat tahun lepas, katanya, selain 380 nelayan darat.

Industri akuakultur Pahang bernilai RM246 juta tahun lepas manakala sektor perikanan sungai bernilai RM11.5 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.