
“Rakyat Malaysia harus menolak dan mengutuk (apa-apa) sikap tidak berterima kasih serta kebiadapan,” kata Syed Farid Alatas dari Universiti Nasional Singapura.
Katanya, sikap seperti itu adalah seperti “tidak mempunyai kepercayaan dan kejam”.
“Ia mungkin mencetuskan kekeliruan dalam kalangan mangsa banjir yang cenderung menerima bantuan makanan yang disediakan atau diberikan oleh komuniti Sikh,” katanya kepada FMT.
Sejak minggu lalu, beberapa gurdwara di Shah Alam dan Petaling Jaya telah menyediakan makanan percuma berasaskan sayur-sayuran kepada mereka yang terjejas akibat banjir.
Bagaimanapun, ada warganet mempersoalkan sama ada makanan terbabit halal untuk dimakan.
Farid berkata, tiada sebab untuk meragui kebersihan dan status halal makanan itu.
“Makanan berasaskan sayur-sayuran itu amat sihat dan usaha komuniti Sikh untuk membantu orang ramai adalah mengagumkan,” katanya.
Katanya, mereka yang ragu-ragu mempunyai kekurangan dari segi “pemikiran beradab” dalam melihat kebaikan pada diri semua orang dan menghargai usaha baik mereka.
Bekas Ahli Parlimen, Tawfik Ismail, turut memberi nasihat kepada mereka yang sanggup berlapar daripada menerima makanan yang diberikan secara ikhlas.
“Itu adalah pilihan kamu, tetapi Tuhan kurniakan otak kepada orang Islam dan bukan Islam. Gunakanlah ia untuk berfikir.”
Katanya, kepercayaan harus menjadi prinsip panduan apabila seseorang itu menerima makanan.
“Mohonlah kepada Allah agar mengizinkan makanan itu dengan membaca ‘BismiLlahirrahmanirrahim’ sebelum anda makan,” katanya.
Katanya, umat Islam perlu menunjukkan budi pekerti mereka dalam menerima niat baik orang bukan Islam kerana ia mencerminkan nilai-nilai Islam, iaitu amal dan belas ihsan.