
Zainuddin Ali, 44, berkata, ketika taman perumahannya dinaiki air Sabtu lalu, beliau berada di luar kawasan atas urusan kerja.
“Saya tak boleh masuk ke kawasan rumah saya. Saya tunggu di jambatan di sana selama dua hari. Saya tidur di bawah lori, dua hari dua malam.
“Saya minta tolong bomba, hantar saya masuk ke dalam (kawasan perumahannya) tapi mereka kata tak boleh sebab mereka utamakan warga emas dan anak kecil,” kata beliau.
“Saya tak ada pilihan. Saya redah banjir tu. Waktu itu, air di paras leher…serta hujan dan angin kencang. Tapi saya redah juga. Saya terlalu risau dengan isteri dan anak-anak di rumah,” ceritanya kepada FMT.

Zainuddin berkata, walaupun dimaklumkan keluarganya sudah berada di PPS berhampiran rumah mereka, dia tetap meneruskan “perjalanan” kerana cemas selagi tidak bersama isteri dan dua anaknya.
Zainuddin mengambil masa hampir dua hari untuk sampai ke PPS itu berikutan paras air yang terlalu tinggi menyukarkan pergerakan. Namun dia tidak pernah berfikir untuk membatalkan “misinya”.
“Saya hanya fikirkan isteri dan anak-anak ketika itu. Saya perlu ada di samping mereka pada waktu getir macam ini.
“Saya redah…sehinggalah ada pasukan penyelamat lalu dan saya tahan untuk tumpang ke PPS yang menempatkan keluarga saya,” katanya.

Zainuddin seterusnya mengambil keputusan untuk membawa keluar keluarganya daripada PPS kerana bimbang mereka terdedah kepada jangkitan covid-19 dan kembali ke rumah mereka yang masih digenangi air.
“Saya bawa keluar isteri dan anak-anak. Kami duduk di tingkat dua rumah kami yang tidak ditenggelami air. Tingkat satu sudah tenggelam. Saya akan datang ke PPS ini untuk ambil makanan dan minuman.
“Kita risau PPS ramai orang. Musim Covid ni, saya risau,” katanya.
Lega kerana kembali bersama dengan anak-anak dan isteri tersayang, Zainuddin kini sugul memikirkan masa depan yang tidak menentu akibat banjir itu.

“Saya bekerja sendiri bukan makan gaji. Mungkin mengambil masa setahun untuk kembali adakan kehidupan yang selesa untuk isteri dan anak-anak. Isteri saya suri rumah sepenuh masa.
“RM1,000 bantuan kerajaan itu saya nak tanya. 1000 dollar? 1000 pound? Jumlah kerugian saya ni paling sikit RM8,000 ke atas. Itu sahaja saya nak cakap,” katanya, merujuk kepada bantuan kecemasan yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Dia turut menunjukkan keretanya yang tersadai dalam kawasan sekolah selepas ditenggelami banjir. Insuran kenderaannya tidak meliputi kerosakan akibat banjir.
Taman Sri Muda adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas di Selangor, selain Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.

Tinjauan wartawan FMT ke Taman Sri Muda semalam mendapati selepas lima hari air banjir masih di paras peha dan pinggang di kawasan tertentu.
Dalam tinjauan rambang itu mendapati masih ramai mangsa banjir enggan meninggalkan rumah mereka walaupun tiada bekalan elektrik dan air bersih.

Ada yang bersantai di atas bumbung rumah dan ada yang bertegur sapa dengan anggota tentera yang bertugas.
Bantuan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat bertali arus masuk ke kawasan perumahan tersebut, termasuk ribuan pek makanan, minuman dan selimut.