Masjid yang menjadi ‘rumah’ buat seluruh rakyat Malaysia

Masjid yang menjadi ‘rumah’ buat seluruh rakyat Malaysia

Walaupun Masjid Bandar Bukit Raja dijangka akan dibuka sepenuhnya tahun depan namun keputusan dibuat segera untuk menjadikannya pusat pemindahan sementara.

Masjid Bandar Bukit Raja menyediakan penempatan sementara kepada lebih 1,000 mangsa banjir tanpa mengira kaum atau agama. (Gambar Zulkifli Othman)
PETALING JAYA:
Ketika hujan terus membasahi Bandar Bukit Raja di Klang pada Sabtu lalu, penduduk merenung dalam keadaan ketakutan apabila limpahan air mula meresap masuk ke dalam rumah dan jelasnya, sesuatu harus dilakukan.

Biarpun terdapat sebuah sekolah berhampiran yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) namun ia tidak mempunyai kapasiti untuk menempatkan ramai mangsa banjir.

Dari situlah, Mohd Zulkifli Othman mula melakukan sesuatu.

Presiden persatuan yang terdiri daripada 32 penduduk di Bandar Bukit Raja, Zulkifli segera membuat panggilan kepada Md Nazri Mohamed Nor, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja.

Masjid Bandar Bukit Raja di Klang. (Gambar Zulkifli Othman)

Walaupun Masjid Bandar Bukit Raja dijangka hanya dibuka sepenuhnya tahun depan, namun keputusan dibuat segera untuk menjadikannya pusat pemindahan sementara kepada penduduk di kawasan itu.

Masjid itu dibina di atas tapak lebih tinggi berbanding kawasan lain dan ia kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1,000 penduduk tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit atau kepercayaan.

“Saya tidak kisah sama ada mereka beragama Buddha, Kristian atau Islam. Alhamdulillah, di Bandar Bukit Raja, hubungan kami seperti satu keluarga,” kata Zulkifli.

Sebilangan penduduk ditempatkan di bangunan masjid bersebelahan. (Gambar Zulkifli Othman)

“Pelbagai kaum dan pelbagai agama…kami menempatkan semuanya di dalam masjid dan tidak memisahkan sesiapa.

“Ini adalah mengenai sifat kemanusiaan. Kita mesti saling membantu tanpa mengira kaum atau agama.

“Prinsip saya mudah. Jika kamu berdepan dugaan, saya juga berdepan dugaan. Jika kamu dalam keadaan baik, saya juga dalam keadaan baik.”

Antara mangsa banjir yang membantu kerja memasak untuk menyediakan makanan di masjid. (Gambar Zulkifli Othman)

Kira-kira 700 orang mangsa banjir ditempatkan di dewan utama solat manakala 500 lagi berada di bangunan masjid yang bersebelahan.

Secara keseluruhannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan terdapat 21,385 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Selangor setakat tengah hari semalam.

Zulkifli berkata, walaupun banjir bukan satu perkara baharu di Bandar Bukit Raja tetapi kebanyakan penduduk di kawasan itu tidak bersedia ketika menghadapi hujan lebat berterusan selama dua hari sebelum ditimpa bencana terbabit.

Seorang wanita diberi bantuan rawatan perubatan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan di masjid. (Gambar Zulkifli Othman)

Sambil menyifatkannya sebagai bencana paling buruk yang melanda penduduk di situ, beliau tersentuh dengan semangat “persaudaraan” dalam kalangan mereka yang berusaha memastikan mangsa banjir di masjid itu berada dalam keadaan terjaga.

Seorang doktor yang menetap di situ turut membantu menyediakan keperluan asas perubatan untuk mangsa banjir dan penduduk turut memasak bersama-sama.

“Bukan kami tidak menerima sebarang bantuan makanan daripada kerajaan tetapi mangsa terlalu ramai dan ia agak terlewat,” kata Zulkifli.

Sebuah lori membawa bantuan yang dihantar oleh Ahli Parlimen Klang Charles Santiago. (Gambar Zulkifli Othman)

“Fokus saya untuk memberikan keutamaan makanan kepada kanak-kanak kerana saya tahu sukar untuk mereka menahan lapar.”

Sekumpulan penduduk juga menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk meronda kawasan berhampiran bagi memastikan setiap penduduk yang terperangkap dapat diselamatkan dan dibawa ke masjid.

Manakala sebahagian lagi ditugaskan untuk memastikan masjid berada dalam keadaan bersih selain ada penduduk yang memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di situ.

Mohd Zulkifli Othman (tengah) dan ahli jawatankuasa Masjid Bandar Bukit Raja. (Gambar Zulkifli Othman)

Di samping itu, terdapat enam keluarga yang sedang menjalani kuarantin ketika banjir melanda telah dipindahkan ke surau berasingan terletak kira-kira 2 kilometer (km) dari situ.

Biarpun mangsa banjir terakhir sudah pun kembali ke rumah masing-masing pada Selasa, namun hari-hari yang diluangkan di Masjid Bandar Bukit Raja berjaya membuktikan bahawa bencana tidak sedikit pun melunturkan semangat persaudaraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.