2 individu tawar khidmat percuma cuci kereta, periksa komputer mangsa banjir

2 individu tawar khidmat percuma cuci kereta, periksa komputer mangsa banjir

Mastinah Mohd Sani dan T Pukalenthi terpanggil untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Kereta mangsa yang ditenggelami air dan bersalut lumpur ini dihantar ke bengkel Azam Motor di Banting untuk tujuan pembersihan.
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia membuktikan mereka mempunyai perasaan belas ihsan terhadap mangsa banjir dengan menghulurkan bantuan makanan, pakaian dan pelbagai keperluan lain.

Bagaimanapun, dua individu cuba melakukan pendekatan berbeza dengan menawarkan bantuan lain.

Mastinah Mohd Sani menawarkan bantuan mencuci kenderaan secara percuma manakala T Pukalenthi pula menyediakan pemeriksaan komputer dan komputer riba secara percuma apabila kebanyakannya ditenggelami air.

Mastinah, pemilik bengkel Azam Motor, berkata, pekerja di cawangannya di Banting akan membersihkan bahagian luar dan dalam kenderaan milik komuniti B40.

Seorang pekerja di bengkel Azam Motor membersihkan sebuah kereta yang terperangkap dalam banjir.

Katanya, dia mula menawarkan khidmat itu sejak Isnin lagi kerana terpanggil untuk membantu mereka selepas melihat keadaan teruk akibat banjir.

“Ketika mereka risaukan dengan keadaan rumah yang sama ada perlu dibaiki atau dibina, saya menawarkan khidmat ini supaya mereka boleh menggunakan kenderaan dengan segera dan keluar bekerja,” katanya.

“Saya ingin mereka tahu bahawa ada yang peduli dengan nasib mereka.”

Katanya, dia dan pasukannya telah membersihkan 20 kenderaan setakat ini dan mempunyai 100 lagi temu janji.

Selain mencuci kenderaan, bengkel itu hanya mengenakan caj RM70 untuk menukar minyak enjin.

T Pukalenthi (kanan) melayan seorang pelanggan selepas iPad miliknya ditenggelami banjir di Taman Sri Muda.

Manakala Pukalenthi pula menawarkan khidmatnya di kedai Giat Solutions miliknya di Puchong.

Katanya, dia menerima lebih 60 panggilan dan pertanyaan mengenai perkara itu sejak memberitahu seorang rakan mengenai tawaran khidmat itu di WhatsApp.

“Saya terkejut dengan sambutan yang menggalakkan. Ramai yang menghubungi saya biasanya terdiri daripada pekerja di pejabat, pensyarah universiti, pelajar, syarikat, universiti malah klinik juga. Setakat ini saya menerima panggilan daripada lima klinik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.