Razarudin dilantik Timbalan KPN baharu

Razarudin dilantik Timbalan KPN baharu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain, akan menjawat jawatan baharu itu, berkuat kuasa 26 Dis.

Pelantikan Razarudin Husain sebagai Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) bagi menggantikan Mazlan Lazim, yang bersara wajib pada 25 Dis. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu, berkuat kuasa 26 Dis ini.

Razarudin, 58, menggantikan Mazlan Lazim, yang bersara wajib pada 25 Dis.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, selepas menerima nasihat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Pelantikan itu selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah Timbalan Ketua Polis Negara kepada Razarudin di sini.

“Razarudin mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam melumpuhkan serta memerangi kegiatan jenayah di seluruh negara.

“Saya percaya gandingan baharu beliau bersama Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani akan memantapkan lagi gerak kerja polis dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” kata Hamzah.

Razarudin yang berasal dari Dengkil, Selangor, telah berkhidmat selama 36 tahun dalam polis, bermula pada 27 Dis 1982.

Sebelum pelantikan terkini, beliau pernah memegang jawatan penting dalam polis antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Pulau Pinang, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Perak dan seterusnya Timbalan Ketua Polis Perak dan sebelum diamanahkan mengetuai kontinjen itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.