PM perlu lebih aktif ketuai koordinasi operasi banjir, kata Wan Saiful

PM perlu lebih aktif ketuai koordinasi operasi banjir, kata Wan Saiful

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, penyelarasan antara agensi untuk memastikan proses penyampaian bantuan lebih tersusun paling penting.

Wan Saiful Wan Jan berkata, banjir adalah bencana besar dan tanggungjawab utama membantu rakyat mestilah diletakkan di atas bahu Perdana Menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob perlu lebih aktif dalam mengetuai penyelarasan operasi bantuan banjir.

Beliau berkata, banjir adalah bencana besar dan tanggungjawab utama membantu rakyat mestilah diletakkan di atas bahu Perdana Menteri.

Katanya, penyelarasan antara agensi untuk memastikan proses penyampaian bantuan lebih tersusun paling penting, dengan adanya jawatankuasa khas yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Pastikan pihak bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam dan semua agensi terbabit bergerak secara tersusun supaya proses bantuan dan pembersihan tidak bertindan dan semua yang terkesan dapat dibantu,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Wan Saiful berkata, hari ini beliau melihat terdapat sedikit penambahbaikan berbanding dua hari lalu ketika beliau dan Skuad Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Prihatin turun padang membantu mangsa banjir di Hulu Langat.

Katanya, dua hari lalu, koordinasi amat lemah dan ramai mangsa banjir tertanya-tanya mana agensi kerajaan.

“Tetapi, pagi ini, apabila Skuad PTPTN Prihatin sekali lagi turun padang, sudah kelihatan kenderaan pelbagai agensi dan koordinasi pun sudah mula ada.”

Semalam, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim kesal dengan sikap dan cara pemimpin negara, terutama dalam aspek kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir, dengan segala kelemahan jelas terpampang.

Katanya, tindakan lembab kerajaan persekutuan, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ditambah pula penyelarasan kucar-kacir dengan pihak kerajaan serta agensi tempatan merumitkan krisis banjir kepada rakyat dan menjadikan ia satu malapetaka dalam tadbir urus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.