Pengangguran kurang, namun desakan hidup dorong ketidakpadanan kemahiran

Pengangguran kurang, namun desakan hidup dorong ketidakpadanan kemahiran

Angka terkini Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa penggunaan tenaga tidak penuh masih menjadi masalah utama.

Menurut persatuan, terdapat jurang dalam tahap pendidikan graduan dan keperluan pasaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Angka pengangguran makin kembali normal apabila ekonomi mulai pulih, namun menurut satu kumpulan perniagaan dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), angka penggunaan tenaga tidak penuh kekal tinggi.

Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran sebanyak 4.7% pada suku ketiga adalah yang terendah sejak wabak bermula.

Bagaimanapun, penggunaan tenaga tidak penuh, sama ada daripada pengurangan masa bekerja atau pekerjaan bawah kelayakan, tidak seperti tahap sebelum wabak.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kam Lian Hooi memberitahu FMT, terdapat jurang dalam tahap pendidikan graduan dan keperluan pasaran.

“Ia kelihatan seperti paradoks. Ramai menganggur, namun syarikat masih tidak dapat mencari pekerja yang sesuai,” katanya.

“Ada keperluan untuk mengkaji semula fokus sistem pendidikan. Adakah kita menyediakan graduan yang dapat bertahan di dunia baharu?”

Beliau menggesa latihan vokasional dan pendidikan digital dipertingkat serta penekanan diberi kepada sains dan matematik, selain kemahiran yang fleksibel dan boleh dipindahkan.

“Kita perlu belajar bahasa kebangsaan sambil mempromosikan bahasa perniagaan popular seperti Bahasa Inggeris dan Cina,” tambahnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani tidak bersetuju wujudnya ketidakpadanan kemahiran.

“Kami tidak mendapat laporan sebegitu daripada majikan,” katanya.

“Kami juga tidak mendengar apa-apa daripada graduan mengenai hal mereka tidak bersedia.”

Sebaliknya, katanya, graduan mungkin mengambil pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan hanya kerana ramai yang dalam keadaan terdesak semasa wabak.

“Mereka hanya mahu bekerja dan membawa pulang gaji,” katanya.

“Kebanyakannya mengambil peluang ini semata-mata kerana mereka mahu keselamatan yang diperoleh melalui pekerjaan.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja ekonomi pulih dan syarikat-syarikat bangkit semula, kita sepatutnya dapat lihat lebih ramai orang mendapat pekerjaan yang sesuai.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.