Tiada pelancaran parti baharu, hanya umum ahli NGO sertai Parti Bangsa Malaysia

Tiada pelancaran parti baharu, hanya umum ahli NGO sertai Parti Bangsa Malaysia

Pengerusi Penggerak Komuniti Negara enggan mengulas dakwaan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin akan menyertai parti itu.

Pengerusi Penggerak Komuniti Negara, Nor Hizwan Ahmad mengumumkan lebih 53,000 ahli NGO itu menyertai Parti Bangsa Malaysia.
KLANG:
Ura-ura pelancaran sebuah parti baharu tidak berlaku hari ini, sebaliknya hanya pengumuman lebih 53,000 ahli sebuah NGO, iaitu Penggerak Komuniti Negara (PKN) menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PKN, Nor Hizwan Ahmad yang juga bekas ahli Bersatu.

Beliau berkata, susulan penyertaannya dalam parti baharu berkenaan, keahliannya dalam Bersatu terbatal.

Beliau bagaimanapun tidak pasti jumlah ahli Bersatu yang menyertai PBM.

Hizwan berkata, parti baharu itu memfokuskan enam perkara, iaitu parti berbilang bangsa, suara anak muda, memartabatkan anak muda, menumpukan ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi.

Beliau juga enggan mengulas dakwaan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin akan menyertai PBM.

Hizwan berkata, buat masa ini, beliau hanya ahli biasa PBM dan parti baharu itu akan berdiri sendiri dengan satu matlamat baharu untuk negara.

“Kita harap dapat sambutan daripada rakyat Malaysia, terutama pengundi muda yang akan mengundi buat pertama kali pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya pada sidang media selepas pengumuman penyertaan dalam parti baharu itu di sebuah hotel di Klang.

Dalam pada itu, Hizwan berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) turut mengarahkan parti baharu itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang baharu.

Melalui mesyuarat itu, katanya, ahli akan memilih kepimpinan parti baharu, namun tarikh EGM belum ditentukan.

“Kepimpinan parti sedang mempertimbangkan beberapa nama untuk dicadangkan kepada ahli parti. Saya pun terkejut ini parti baharu, tetapi nama-nama besar sudah datang. Parti baharu ini akan jadi pilihan awal.”

Bulan lalu, MalaysiaGazette melaporkan Zuraida dikatakan bakal mengetuai parti baharu itu yang pendaftarannya dilaporkan telah diluluskan JPPM pada 29 Okt lalu.

Selain Zuraida, individu lain yang bakal menjadi pimpinan PBM adalah Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Steven Choong (Tebrau), di mana kedua-duanya adalah bekas pemimpin PKR.

Menurut laporan Malaysiakini, Choong memaklumkan parti baharu itu merupakan parti pelbagai kaum, yang mana penekanan diberikan kepada wanita dan generasi muda yang akan diberi peranan utama dalam semua perkara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.