Iran sah sertai Piala Dunia Fifa 2026

Iran sah sertai Piala Dunia Fifa 2026

Skuad kebangsaan Iran garis syarat antaranya menerima visa tanpa masalah, lagu kebangsaan dimainkan, dan bendera Iran dibenar masuk ke stadium.

Iran dijadual menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun dan Belgium pada 21 Jun sebelum berdepan Mesir di Seattle pada 26 Jun, dalam aksi peringkat kumpulan. (Gambar EPA Images)
TEHRAN:
Persekutuan Bolasepak Iran mengumumkan pasukan kebangsaannya akan menyertai Piala Dunia FIFA 2026 yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat (AS), Kanada, dan Mexico, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan bahawa persekutuan itu telah memuktamadkan keputusan mengenai penyertaan berkenaan serta mengesahkan prosedur visa berkaitan kejohanan itu telah selesai.

Persekutuan itu menyatakan pasukan kebangsaan berjaya melayakkan diri menerusi keputusan perlawanan mereka dan terus mempergiat persiapan serta latihan menjelang pertandingan berkenaan.

Kejohanan itu dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Iran dijadual menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun dan Belgium pada 21 Jun sebelum berdepan Mesir di Seattle pada 26 Jun.

Secara berasingan, agensi berita Iran, ISNA melaporkan persekutuan bola sepak negara itu telah menggariskan 10 syarat bagi penyertaan Iran dalam kejohanan berkenaan.

Antara syarat dilaporkan termasuk jaminan semua pemain dan pegawai teknikal akan menerima visa tanpa sebarang masalah serta tidak akan disoal siasat oleh pihak imigresen AS ketika dalam perjalanan.

Persekutuan itu juga dilaporkan meminta kemudahan visa untuk wartawan dan penyokong Iran yang menghadiri kejohanan itu, peningkatan langkah keselamatan AS di lapangan terbang, hotel, laluan pengangkutan dan stadium, serta sekatan yang hanya membenarkan bendera rasmi kebangsaan Iran dibawa masuk ke stadium.

Tuntutan lain yang dilaporkan termasuk jaminan lagu kebangsaan Iran akan dimainkan tanpa gangguan semasa perlawanan dan soalan pada sidang media dihadkan sepenuhnya kepada perkara berkaitan bola sepak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.