Semua di PPS perlu jalani ujian kendiri Covid-19, kata Hisham

Semua di PPS perlu jalani ujian kendiri Covid-19, kata Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah juga perlu dimaklumkan dengan menghubungi talian 'hotline' disediakan bagi melakukan pengesanan kontak rapat.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan terus memantau jangkitan Covid-19 di pusat pemindahan sementara dan melakukan penilaian risiko dari semasa ke semasa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan urusetia atau sukarelawan di pusat perlindungan, termasuk pusat pemindahan sementara (PPS) menjalankan ujian kendiri air liur RTK Ag kepada setiap individu dan mengasingkan kes positif Covid-19 secepat mungkin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pejabat Kesihatan Daerah juga perlu dimaklumkan dengan menghubungi talian “hotline” yang disediakan supaya langkah pengesanan kontak rapat dapat dijalankan segera.

“KKM faham sekiranya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan awam tidak dapat dipatuhi sepenuhnya sewaktu menyelamatkan nyawa, tetapi berharap semua individu sama ada mangsa banjir, sukarelawan atau anggota penyelamat dapat mematuhi SOP sebaik mungkin bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

“KKM akan terus memantau jangkitan Covid-19 di PPS dan melakukan penilaian risiko dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata, peningkatan kes positif Covid-19 dijangka berlaku di PPS seluruh negara kerana pematuhan kesihatan awam tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ketika berdepan musibah banjir.

Hisham berkata, pada masa sama, KKM menyediakan pasukan perubatan di PPS, terutama PPS besar, dengan membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa banjir.

Katanya, ujian saringan Covid-19 juga dilakukan ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi pengesanan awal jangkitan Covid-19 serta memastikan tiada penularan di PPS.

Sementara itu, Hisham memaklumkan 72 fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir, iaitu 43 di Pahang, 20 di Selangor, lapan di Kelantan dan satu di Negeri Sembilan.

Daripada jumlah itu, katanya, lapan fasiliti kesihatan terputus hubungan, namun masih beroperasi dan 21 fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi, iaitu 20 di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, setakat ini juga tiada kes “acute gastroenteritis” (AGE), tifoid, kolera, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), leptospirosis, denggi atau penyakit berjangkit lain dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir.

“Sehingga tengah hari tadi, 78 mangsa banjir diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar di PPS. Daripada jumlah tersebut, 13 kes dalam kategori penyakit berjangkit, lima kes infeksi saluran nafas bawah akut (ARI), lapan kes jangkitan kulit dan 65 kes penyakit tak berjangkit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.