Korban banjir di Selangor naik kepada 17 orang

Korban banjir di Selangor naik kepada 17 orang

Daripada jumlah itu, 10 mayat ditemui di daerah Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

Kerajaan Selangor akan memberi bantuan kewangan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa korban dalam banjir minggu lalu, manakala RM1,000 untuk keluarga yang terkesan dengan banjir. (Facebook pic)
SHAH ALAM:
Korban banjir di Selangor kini meningkat kepada 17 orang, termasuk seorang sukarelawan, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Setakat 8 pagi tadi, katanya, 10 mayat ditemui di daerah Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

Beliau berkata, punca kematian sedang dikenal pasti, sama ada disebabkan banjir atau faktor lain seperti mati akibat kekurangan ubat dan sebagainya.

“Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Susulan itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri memberi bantuan kewangan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa korban dalam bencana itu dan RM1,000 kepada setiap keluarga terkesan akibat banjir.

Sehingga 8 pagi tadi, katanya, seramai 30,632 mangsa dari 4,672 keluarga ditempatkan di 203 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor.

“Angka sebenar mangsa dijangka meningkat disebabkan beberapa daerah masih menunjukkan peningkatan paras air, seperti di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sepang, serta mangsa yang berjaya diselamatkan pasukan penyelamat, termasuk di Taman Sri Muda, Kampung Baru Hicom serta Bukit Changgang.”

Katanya, ada mangsa yang memilih tinggal di rumah masing-masing yang dirasakan masih selamat, walaupun selepas dimaklumkan mengenai risikonya.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya menyumbang bakul makanan kepada mangsa banjir untuk kegunaan beberapa hari.

Sementara itu, Amirudin berkata, Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit akan diwujudkan sebagai platform untuk rakyat Malaysia, terutamanya syarikat swasta, individu dan syarikat berkaitan kerajaan menyumbang kepada pemulihan kawasan terjejas dengan banjir.

“Sebagai komitmen awal, saya akan menyumbang sebulan gaji saya kepada tabung ini sebagai tanda permulaan proses pemulihan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.