Ramasamy keji, samakan saya dengan syaitan, kata Zakir Naik

Ramasamy keji, samakan saya dengan syaitan, kata Zakir Naik

Pendakwah memberi keterangan pada sesi perbicaraan saman fitnah terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

Zakir Naik mendakwa bahawa Ramasamy membuat fitnah pada 10 April 2016, dengan memanggilnya “syaitan”, di Facebook miliknya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gelaran syaitan yang dilemparkan oleh seorang ahli politik pembangkang  terhadap Zakir Naik adalah fitnah, pendakwah kontrovesi itu memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini.

Zakir berkata, pemimpin DAP, P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, secara terbuka telah menimbulkan kebencian terhadap beliau dengan memanggilnya “syaitan”.

“Menyamakan seseorang dengan “syaitan” adalah perbuatan keji, tidak munasabah, tidak wajar dan tidak boleh dilakukan,” kata Zakir dalam kenyataan saksinya.

“Perkataan “syaitan” bukanlah satu komen yang adil. Saya nyatakan di sini bahawa saya tidak pernah mengejek atau memperlekehkan agama lain,” katanya.

Zakir berkata, Ramasamy telah mentafsir ceramah yang disampaikannya di Kuala Terengganu lima tahun lalu secara luar konteks dan sengaja memetiknya dengan cara mengelirukan.

“Defendan tidak memahami maksud ceramah saya kerana tidak mendengar keseluruhan ceramah, hanya memetik sebahagian daripada ceramah dan membuat kesimpulan salah sehingga memfitnah saya,” katanya.

Jelasnya, beliau bercakap tentang kualiti dan kekuatan Islam dan secara konsisten menonjolkan persamaan antara agama yang berbeza.

“Oleh itu, saya percaya pembelaan yang dikemukakan oleh defendan tidak boleh dipertahankan,” katanya

Katanya lagi, memang benar Ramasamy sudah memadamkan perkataan “syaitan” menerusi fitnah di laman Facebooknya tetapi ketika itu ia sudah pun tersebar di internet dan telah dibaca oleh ramai rakyat Malaysia.

Beliau berkata, tindakan itu (memadam) sudah terlambat dan tidak membawa apa-apa makna.

“Kebergantungan Ramasamy pada pembelaan justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan yang layak tidak boleh diterima kerana lima kenyataan berunsur fitnah itu dilakukan dengan niat jahat.

Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan yang mendakwa Ramasamy telah mengeluarkan lima kenyataan terhadapnya.

Beliau menyaman Ramasamy kerana didakwa mengeluarkan kenyataan itu, yang dimuat naik di laman media sosial dan portal berita, antara 2016 dan 2019.

Dalam kenyataan tuntutannya, dia mendakwa bahawa Ramasamy telah memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya “syaitan” di Facebook miliknya.

Beliau juga mendakwa telah difitnah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Ramasamy, bahawa Malaysia melindungi seorang yang didakwa pelarian dari India, yang diterbitkan oleh Free Malaysia Today (FMT), pada 1 Okt 2017.

Zakir mendakwa, pada 11 Ogos 2019, Ramasamy telah “memanipulasi” ucapan dibuatnya pada majlis anjuran kerajaan Kelantan dan yang turut diterbitkan oleh FMT, pada hari yang sama.

Pada 20 Ogos 2019, dia mendakwa, Ramasamy sekali lagi memfitnahnya dalam satu kenyataan berbaur kebencian dan kemudiannya diterbitkan oleh India Today.

Naik memfailkan saman keduanya terhadap Ramasamy pada Dis 2019, mendakwa defendan telah memfitnahnya dalam membuat komen mengenai Harimau Pembebasan Tamil Eelam dan yang disiarkan oleh portal The Malaysian Insight.

Perbicaraan di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.