Kit makanan, kebersihan RM100 disumbang kepada mangsa banjir

Kit makanan, kebersihan RM100 disumbang kepada mangsa banjir

Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan menggerakkan sukarelawan daripada agensi negeri ke lokasi banjir di seluruh negara dalam usaha membaik pulih kerosakan infrastruktur.

Mahdzir Khalid mengagihkan bantuan kepada seorang mangsa banjir di Kampung Bangi Lama. (Gambar Facebook Mahdzir Khalid)
PETALING JAYA:
Mangsa banjir di Kampung Bangi Lama menerima sumbangan kit makanan dan peralatan kebersihan bernilai RM100 daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menterinya, Mahdzir Khalid berkata, kit itu antara bantuan segera yang disalurkan KPLB kepada mangsa banjir di luar bandar.

“Kita amat bersimpati dengan situasi yang dialami penduduk dilanda banjir besar di Lembah Klang tahun ini.

“KPLB mengambil inisiatif untuk sekurang-kurangnya meringankan sedikit beban dengan menyalurkan bantuan segera dan selanjutnya akan kita beri mengikut keperluan, selepas penilaian menyeluruh dilaksanakan pasca banjir ini nanti,” katanya selepas meninjau keadaan di kampung itu hari ini.

Sejumlah 230 keluarga di kampung itu terjejas akibat bencana kali ini, kata Mahdzir, yang dimaklumkan Ketua Kampung, Rasidin Md Yusoff.

Beliau berkata, KPLB turut menggerakkan sukarelawan daripada agensi negeri di bawahnya ke lokasi banjir di seluruh negara dalam usaha membaik pulih kerosakan infrastruktur seperti jalan kampung dan longkang melalui Projek Ameniti Sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.