9 korban nahas dikebumi esok

9 korban nahas dikebumi esok

Jenazah sembilan sekeluarga akan dikebumi esok di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Enam daripada mereka dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad.
PETALING JAYA:
Jenazah sembilan sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, semalam, akan dikebumikan esok.

Adik kepada Allahyarham Norul Naziah Buyong, Nurul Atika, 33, berkata, urusan pengebumian semua jenazah dijangka dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

“Lima daripada mereka termasuk Norul Naziah, 37, dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad, manakala empat lagi termasuk bayi berusia 10 bulan dikebumikan secara berasingan apabila didapati positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan pihak hospital,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, jenazah akan disolatkan di sebuah surau di Seksyen 17 dan ahli keluarga akan menguruskannya secepat mungkin yang dijangka sebelum Zuhur, esok.

Sementara itu, jenazah seorang lagi mangsa kemalangan, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dijangka dikebumikan di tanah perkuburan sama, malam ini.

Difahamkan, hasil saringan ke atas jenazah Allahyarham mendapati negatif Covid-19.

Norul Naziah dan lapan anaknya, Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan maut selepas kenderaan mereka yang rosak ditepi lebuh raya, dirempuh treler.

Pemandu kenderaan, Abdul Razak Majit, 50, pula mengalami cedera manakala Mohamad Rohimi yang juga mekanik, maut dalam kejadian itu.

Kejadian berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Jawa, Klang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin saudara di Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.