
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif berkait dengan varian baharu itu sebanyak 13 kes setakat ini.
Katanya, sebanyak 11 kes yang disahkan itu membabitkan sembilan warga tempatan manakala dua kes adalah warga Nigeria.
“Tiga kes dari United Kingdom, Amerika (tiga), Nigeria (dua), Arab Saudi (dua) dan Australia (satu).
“Lapan kes mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori 2, dan tiga lagi kes tidak bergejala, sementara lima kes menjalani kuarantin di rumah manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin,” katanya dalam kenyataan.
Hisham berkata, tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandangkan ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan kerana tahap ‘viral load’ yang rendah dalam sampel yang diterima.
“Ketujuh-tujuh sampel didapati mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) yang tinggi iaitu enam sampel dengan CT value melebihi 30 dan satu sampel mempunyai CT value 28.47,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron pada 17 Dis.
“… dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS). Maklumat lanjut akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.