Warga emas dicari bantu siasatan kes penipuan tanah libatkan kerugian RM22 juta

Warga emas dicari bantu siasatan kes penipuan tanah libatkan kerugian RM22 juta

Individu tersebut telah membuat tandatangan palsu di dalam dokumen berkaitan pertukaran tanah tanpa pengetahuan pengadu.

Ketua JSJK Negeri Sembilan Aibee Ab Ghani berkata, lelaki dikenali sebagai Chua Seng Keat, 61, yang alamat terakhirnya di Kota Damansara, Petaling Jaya tampil bagi membantu siasatan. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Polis mencari seorang warga emas bagi membantu siasatan kes penipuan tukar hak milik tanah membabitkan kerugian berjumlah RM22 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Aibee Ab Ghani meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki dikenali sebagai Chua Seng Keat, 61, yang alamat terakhirnya di Kota Damansara, Petaling Jaya tampil bagi membantu siasatan.

Menurutnya, ia susulan aduan daripada seorang ahli perniagaan yang mendapati tanah didaftarkan di atas nama syarikatnya telah ditukar milik kepada seorang individu tidak dikenali selepas membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian di Wisma Negeri Sembilan pada 15 Okt tahun lalu.

“Individu tersebut telah membuat tandatangan palsu di dalam dokumen berkaitan pertukaran tanah tanpa pengetahuan pengadu yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM22 juta,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai mengenali lelaki berkenaan diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat Rosmaliah Khalit di talian 013-9443968 bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.