
Beliau berkata terdapat gangguan dari segi audio dan video apabila prosiding diadakan untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri untuk memasukkan bukti baharu dalam kes itu.
“Di manakah keadilan apabila anda memaksa kami untuk menghadiri prosiding hibrid?” katanya pada sidang media maya.
Shafee berkata prosiding hibrid itu sudah tentu menjadi alasan untuk rayuan itu apabila Najib memfailkan petisyennya selepas mendapat rekod penuh daripada Mahkamah Rayuan.
Pada 7 Dis, pasukan pendakwaan yang diketuai Pendakwa ad hoc V Sithambaram membuat penghujahan di hadapan tiga hakim Mahkamah Rayuan manakala Shafee membentangkan kes dari rumahnya.
Najib mengikuti pendengaran permohonan itu dari rumahnya selepas mahkamah menolak penangguhan dibuat.
Shafee meminta mahkamah mengosongkan perbicaraan dan pengumuman keputusan rayuan kerana kakitangan di firma guamannya telah disahkan positif Covid-19 selepas tiga ujian berbeza.
Ini selepas ibu kepada seorang lagi peguam dalam pasukan pembelaan Najib disahkan positif Covid-19, yang menyebabkan semua peguam di Shafee & Co perlu membuat ujian saringan.
Shafee hari ini berkata Sithambaram mempunyai kelebihan untuk hadir secara fizikal di hadapan hakim – Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.
“Saya tidak dapat mendengar salah seorang hakim ketika membuat penghujahan dan, kadang-kadang, imej pada skrin kabur,” tambahnya.
Shafee dengan tegas berkata prosiding maya atau hibrid tidak boleh dilaksanakan untuk perkara jenayah walaupun Akta Mahkamah Kehakiman telah dipinda untuk menjalankan kes dalam tempoh Covid-19.
“Saya harap Majlis Peguam akan mengambil pendirian berhubung perkara ini kerana ia adalah isu kepentingan awam,” tambahnya.
Karim sebelum ini menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu.