
Menurut Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh, dos penggalak penting dalam memberikan perlindungan lanjut bagi mereka yang telah menerima dua suntikan vaksin.
Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, penerima vaksin Sinovac akan diberi janji temu di MySejahtera 90 hari selepas dos kedua, manakala bagi penerima vaksin Pfizer-BionTech atau AstraZeneca, 180 hari selepas dos kedua.
Kuljit berkata, hospital swasta akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan ProtectHealth untuk memberi suntikan dos penggalak.

Katanya, banyak hospital swasta sudah pun memberi dos penggalak kepada individu berusia 60 tahun ke atas mengikut janji temu MySejahtera.
“Kini, ia terbuka kepada yang lain, berdasarkan kriteria baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Kuljit menzahirkan kebimbangan mengenai orang ramai yang tidak hadir untuk mendapatkan dos penggalak.
“Perkhidmatan yang disediakan oleh hospital swasta untuk memberikan dos penggalak adalah percuma dan sebahagian daripada usaha kami membantu kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, terdapat peningkatan dalam kemasukan pesakit Covid-19 Kategori 3 hingga 5 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad biasa baru-baru ini, tetapi disebabkan usaha vaksinasi yang dijalankan jumlah itu tidak membimbangkan seperti beberapa bulan lalu.
Katanya, orang ramai tidak boleh mengabaikan garis panduan KKM dan badan antarabangsa mengenai kemungkinan gelombang besar jangkitan lain, terutamanya disebabkan kemunculan varian seperti Omicron.