Bot Karam: Indonesia kenalpasti identiti 13 rakyatnya yang selamat

Bot Karam: Indonesia kenalpasti identiti 13 rakyatnya yang selamat

Sembilan daripadanya berasal dari Lombok, manakala masing-masing dari Batam; Pekanbaru; Jember dan Tanjung Balai Karimun.

Mereka yang terselamat ketika ini masih ditahan Imigresen Johor manakala kematian mencecah 21 orang iaitu 15 lelaki dan enam wanita. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Indonesia mengenal pasti identiti 13 rakyatnya yang selamat dalam tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau di sini, kelmarin.

Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dalam kenyataan memaklumkan, sembilan daripadanya berasal dari Lombok, manakala masing-masing seorang dari Batam; Pekanbaru; Jember dan Tanjung Balai Karimun.

“Mereka yang terselamat ketika ini dalam keadaan baik namun masih ditahan Imigresen Johor.

“Kita akan memastikan hak kekonsuleran, tahap kesihatan serta berkomunikasi dengan keluarga mangsa di Indonesia,” katanya menurut laporan Utusan.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi Rabu lalu, sebuah bot pancung yang membawa 50 rakyat negara itu dikenal pasti sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) karam akibat cuaca buruk.

Tragedi berlaku ketika bot pancung mahu mendarat di Tanjung Balau, Kota Tinggi selepas bertukar lokasi dari Kampung Sungai Tengah sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Seramai 14 mangsa terselamat, namun seorang yang berada dalam keadaan kritikal meninggal dunia pagi tadi, menjadikan jumlah kematian kini mencecah 21 orang, iaitu 15 lelaki dan enam wanita.

Sementara itu, KJRI Johor Bahru turut memaklumkan, tiga jenazah mangsa yang terkorban disahkan berasal dari Pekanbaru dan Lombok Tengah.

Katanya, petugas KJRI Johor Bahru telah berkoordinasi dengan pihak keluarga terlibat untuk proses penghantaran pulang jenazah ke daerah asal mereka di Indonesia.

“KJRI Johor Bahru membuka hotline pengaduan bagi keluarga dan masyarakat yang mencari informasi berkaitan insiden tersebut di talian +6016-7700378 atau +6017-7716866.

“Kami juga ingin mengingatkan rakyat Indonesia agar tidak menggunakan laluan haram untuk menuju atau keluar dari Malaysia demi kebaikan dan keselamatan diri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.