Bapa undur kereta terlanggar bayi, reka cerita anak ditendang lembu

Bapa undur kereta terlanggar bayi, reka cerita anak ditendang lembu

Lelaki warga Myanmar ditahan selepas didakwa cuai menyebabkan anaknya berusia setahun cedera akibat dilanggar kereta secara undur dan bukannya diserang lembu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, G S Suresh Kumar berkata, bayi terbabit dalam keadaan stabil dan masih di bawah pengawasan wad unit rawatan rapi (ICU) HSB.
PETALING JAYA:
Cubaan seorang lelaki menipu pihak hospital kononnya anaknya cedera akibat diserang lembu tidak menjadi selepas siasatan mendapati bayi berkenaan sebenarnya cedera akibat dilanggar kereta berundur, semalam.

Lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan menghantar anaknya berusia setahun ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah dalam keadaan cedera di kepala dan muka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, G S Suresh Kumar berkata, polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan HSB memaklumkan menerima seorang bayi warga Myanmar cedera manakala mukanya melecet pada jam 10.56 malam.

“Pada awalnya, lelaki itu memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa kecederaan itu dikatakan akibat ditendang seekor lembu.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dilanggar oleh bapanya ketika mengundur kereta di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan menurut laporan Kosmo!..

Katanya, bayi itu kini dalam keadaan stabil dan masih di bawah pengawasan unit rawatan rapi (ICU) HSB.

Suresh berkata, suspek bekerja sebagai buruh binaan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.